PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

MAULIDUR RASUL : RASULULLAH S.A.W IKUTAN SEPANJANG ZAMAN


Kedatangan bulan Rabiul Awal pada setiap tahun lazimnya mengingatkan kita tentang kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Kelahiran ini sesungguhnya telah memberikan makna yang amat besar kepada kelangsungan hidup umat manusia di dunia dan di akhirat. Umat manusia dan alam keseluruhannya telah dihamparkan dengan rahmat dan keberkatan melalui perantaraan Rasulullah S.A.W.

Firman Allah swt di dalam surah Al-Anbiaa' ayat 107;

"Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".

Sesungguhnya perjalanan hidup Rasulullah S.A.W dihiasi dengan akhlak yang amat terpuji. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Qalam ayat 4 ;

"Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia."

Mulianya akhlak Rasulullah S.A.W ini telah ditunjukkan oleh baginda di sepanjang kehidupannya samada melalui percakapannya, perbuatannya mahupun melalui sikapnya. Baginda sendiri telah memberikan pengakuan melalui sebuah dengan sabdanya:

"Sesungguhnya Aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ".

(Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Inilah yang seharusnya diikuti dan diteladani oleh setiap umat Islam yang mengaku beriman dengan Rasulullah S.A.W. Sekalipun Baginda telah meninggalkan kita lebih seribu empat ratus tahun yang lalu, namun setiap gerak laku dan tutur katanya boleh dilaksanakankan pada masa kini, malahan amat bersesuaian dengan fitrah manusia yang inginkan kebahagiaan.

Allah SWT telah berfirman di dalam surah Ali Imran ayat 31;

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Kewajipan mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W adalah merupakan antara pra syarat untuk mendapatkan keampunan Allah SWT dan seterusnya dapat menjamin kebahagiaan hidup manusia di dunia dan juga di akhirat. Tanpa keampunannya, manusia akan terus hidup bergelumang dengan dosa yang menyebabkan amalan-amalan mereka sukar diterima oleh Allah SWT. Inilah satu perkara penting yang sering dilupakan oleh sebahagian masyarakat kita pada hari ini, menyebabkan kehidupan mereka menjadi porak-peranda. Mereka menganggap hanya dengan harta dan pangkat akan menjadikan mereka bahagia sedangkan pada hakikatnya kesemua itu adalah bergantung kepada keredhaan Allah SWT.

Rasulullah S.A.W sebagai ikutan kita hendaklah dijadikan contoh teladan yang terbaik dari seluruh kehidupan manusia sama ada dalam hal-hal kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan. Keadaan ini telah dijelaskan di dalam hadis-hadis sahih dari berbagai-bagai riwayat. Begitu juga telah dijelaskan melalui ayat-ayat Al-Quran yang memberikan panduan kehidupan; kesemuanya telah dipraktikkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W di sepanjang hayatnya agar dapat dicontohi pula oleh umatnya yang terkemudian.

Antara perkara penting yang harus diperhatikan oleh setiap umat Islam dalam kehidupan Baginda adalah dalam hal-hal kekeluargaan. Ini adalah kerana pada hari ini; banyaknya berlaku kes-kes perceraian, jenayah kekeluargaan, penderaan dan sebagainya adalah disebabkan kegagalan mereka menghayati tatacara kehidupan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Allah SWT telah memberikan panduan yang jelas bagaimana seharusnya kehidupan dalam sebuah keluarga itu dilangsungkan. Perkara ini disebutkan di dalam surah Ar-Rum ayat ke 21 ;

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".

Kehidupan berumahtagga oleh Baginda Rasulullah S.A.W pada hakikatnya adalah sebagai suatu yang lebih praktikal untuk mengajar kita supaya hidup lebih mesra, berkasih sayang dan belas kasihan terhadap ahli keluarga. Saidatina Aisyah R.A. ketika ditanya tentang kehidupan Rasulullah S.A.W semasa di rumah, beliau menjawab "bahawa Baginda juga seperti manusia biasa; membersihkan bajunya, memerah susu dan menguruskan dirinya sendiri".  (Riwayat Ahmad)

Rasulullah S.A.W pernah menyatakan bahawa manusia yang baik adalah mereka yang melakukan kebaikan terhadap ahli keluarganya. Maka sebagai seorang ketua keluarga, kita seharusnya menunjukkan rasa senang hati, perasaan kasih sayang dan belas kasihan terhadap isteri dan anak-anak yang merupakan suatu anugerah dan amanah daripada Allah SWT. Perselisihan faham bukanlah alasan untuk bermusuh-musuhan apatah lagi untuk bercerai berai. Bahkan seharusnya dijadikan panduan dalam mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan. Pepatah Melayu ada mengatakan ; "Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri ". Sebagaimana air di laut ada pasang surutnya, maka begitu jugalah kehidupan berumahtangga.

Sesungguhnya kes-kes keganasan rumahtangga dan perceraian yang berlaku seharusnya dijadikan iktibar kepada kita semua agar segera kembali menghayati perjalanan hidup rumahtangga Rasulullah S.A.W. Kebijaksanaannya mengurus ahli keluarga seharusnya dijadikan asas panduan kepada kita semua untuk membina keluarga yang aman dan harmoni.

Perkara yang tidak kurang pentingnya juga yang harus diperhatikan dalam kehidupan Rasulullah S.A.W adalah dalam soal hubungan sesama insan. Dalam sebuah hadis daripada Jubair bin Mut'im R.A. bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda;

"Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim".

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam sirah kehidupannya, baginda telah menunjukkan kepada kita akhlaknya yang terpuji sama ada ketika bersama anak kecil mahupun orang dewasa, begitu juga ketika bersama orang berharta mahupun hamba sahaya. Dalam soal hubungan ini baginda tidak pernah membeza-bezakan di antara satu sama lain. Kesemuanya dilayan dengan baik oleh baginda sehingga mereka merasakan tidak ada perbezaan di antara kedudukan orang-orang kaya dengan yang miskin, berpangkat atau sebaliknya.

Rasulullah S.A.W juga sentiasa merendah diri, sentiasa tersenyum dan berwajah manis apabila bertemu dengan sesiapa sahaja. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Zar R.A. bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda;

"Janganlah engkau memandang hina sesuatu pekerjaan yang baik sekalipun engkau berjumpa dengan saudaramu dengan wajah yang manis".   (Riwayat Muslim)

Menampilkan wajah yang manis dan ceria di khalayak ramai bukanlah merupakan suatu kesalahan, malahan ia dianggap sebagai satu sedekah. Ia juga merupakan salah satu cara mewujudkan masyarakat penyayang dan mengelakkan sebarang bentuk persengketaan. Inilah yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W sehingga akhirnya dapat melahirkan masyarakat yang penyayang dan hidup bersatu padu serta saling bekerjasama di antara satu dengan yang lain.

Keadaan seperti ini sudah jarang dipraktikkan oleh sebahagian masyarakat kita pada hari ini sehingga kerajaan mengadakan kempen-kempen senyum melalui media elektronik dan sebagainya. Mungkin kerana kita menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang remeh sehingga kita tidak memperdulikan tentang kebaikan yang ada di sebaliknya. Mungkin juga kerana kita terlalu sibuk dengan urusan-urusan peribadi sehingga kita terlupa bahawa silaturrahmi juga adalah suatu yang akan dipersoalkan oleh Allah dan Rasul-Nya sebagaimana kewajipan-kewajipan yang lain.

Rasulullah S.A.W sebagai pemimpin sebuah negara juga telah menunjukkan kepada umatnya bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin yang baik dan disayangi oleh segenap lapisan masyarakat. Salah satu sifat utama Rasulullah S.A.W yang jarang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin lain adalah sifat pemaaf Baginda sekalipun terhadap orang-orang yang memusuhinya. Rasulullah S.A.W tidak pernah mengambil kesempatan terhadap musuh-musuhnya yang sudah tidak berdaya melawannya. Perkara seperti ini telahpun dibuktikan sendiri oleh Baginda Rasulullah S.A.W ketika peristiwa pembukaan kota Mekah. Penduduk Quraish Mekah yang menjadi tawanan pada ketika itu telah diberikan pengampunan dan dibebaskan oleh Baginda tanpa sebarang syarat. Kebaikan dan sifat pemaaf yang ditunjukkan oleh Baginda itu akhirnya telah menarik minat mereka untuk memeluk agama Islam.

Firman Allah swt di dalam surah An-Nasr ayat 1-3;

"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai Kota Mekah), Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat".

Inilah natijah daripada sifat pemaaf Rasulullah S.A.W yang akhirnya telah memberikan keuntungan kepada agama Islam itu sendiri. Amat malang pula bagi sesetengah pemimpin dunia pada masa kini yang terlalu rakus dan mengambil kesempatan ke atas negara-negara yang lemah sehingga menimbulkan berbagai bentuk kekacauan dan kecelaruan. Akhirnya rakyat juga yang menjadi mangsa di atas kejahilan dan ketamakan pemimpin-pemimpin ini.

Rasulullah S.A.W juga telah terbukti berjaya mentadbir sebuah negara Islam dengan penuh bijaksana, amanah dan adil. Kebijaksanaan, keadilan dan sifat amanah Baginda ini telah diikuti oleh para Khulafa' Ar-Rasyidin dan khalifah Islam yang lain sehingga rakyat dapat hidup dengan aman dan makmur. Inilah tiga ciri utama yang seharusnya wujud dalam diri setiap insan yang bergelar pemimpin. Tanpa kebijaksanaan, negara pasti akan kucar kacir dan hancur. Tanpa keadilan pula, akan berlaku berbagai bentuk penindasan dan tanpa sifat amanah, maka akan berlakulah berbagai bentuk penyelewengan yang akhirnya akan merugikan rakyat dan juga negara.

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W merupakan insan kamil yang paling layak untuk diikuti oleh setiap umat manusia. Di manapun kedudukan kita pada hari ini, sama ada sebagai pemimpin sebuah keluarga, masyarakat mahupun negara seharusnya menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai satu-satunya qudwah hasanah dalam kehidupan kita. Jaminan kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat bukanlah diukur dengan kekayaan dan pangkat sebaliknya ia diukur dengan sejauh mana kita telah mengikuti dan mengamalkan segala sunnah yang dianjurkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.

"Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, Maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, para Siddiqin, para syuhada' (orang yang mati syahid), dan orang yang soleh;. serta mereka itulah teman yang sebaik-baiknya". (An-Nisaa': 69)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...