Hari ini umat Islam disibukkan dengan isu keruntuhan akhlak muda-mudi. Adakah ia benar-benar berlaku dalam masyarakat kita?. Ya, memang berlaku, bahkan sampai ke peringkat boleh menggugat keutuhan peribadi umat Islam keseluruhannya.
Kita sering mendengar berita tentang anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa, bahkan sampai ke peringkat sanggup mencederakan dan membunuh. Berlakunya gejala pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sehingga berleluasanya gejala zina dan kelahiran anak luar nikah. Remaja dirosakkan oleh bahan-bahan yang membahayakan tubuh badan seperti dadah, ganja, gam, ubat batuk dan sebagainya. Bahkan kita sudah mendengar ada murid sekolah yang mencederakan rakan sekolah dan kejadian melawan guru sehingga mahu membakar rumah guru dan sekolah.
Asas pendidikan anak-anak adalah bermula dari rumah. Sekiranya di rumah pun mereka tidak mendapat asas pendidikan Islam, apatah lagi di luar rumah, sudah tentu sukar untuk membentuk peribadi muslim yang sejati kerana pengaruh dan pancaroba di luar rumah adalah lebih dahsyat. Hanya mereka yang mempunyai asas pendidikan Islam dan diwarnai oleh akhlak yang murni sahajalah yang berpeluang untuk selamat, namun kenyataannya hari ini kita dapati bukan sedikit yang tercicir di pertengahan jalan.
Oleh itu, ajaran Islam telah menentukan cara untuk melahirkan rumah tangga Islam yang sempurna, mampu menumbuhkan tunas-tunas Islam, yang akan menjalar dan membesar dengan sempurna, tidak boleh dihalang dan dipengaruhi oleh gejala maksiat yang merosakkan.
Firman Allah di dalam Surah Al-Kahfi, ayat 13:
Maksudnya : "Sesungguhnya mereka itu adalah anak-anak muda yang beriman kepada Tuhan mereka, maka kami (Allah) menambahkan kepada mereka dengan hidayah".
Bagi melahirkan rumahtangga Islam yang sempurna, maka asas perkahwinan mestilah dibina di atas asas-asas Islam, bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu. Pasangan yang ingin berkahwin itu hendaklah bertujuan menjauhi maksiat dan melahirkan zuriat keturunan yang ramai dan soleh yang menjadi kebanggaan Nabi s.a.w.
Untuk mencapai tujuan tersebut, mereka mestilah membuat pilihan pasangan masing-masing menurut kaca mata Islam, bukannya melalui kaca mata nafsu dan bisikan syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama, nescaya akan selamat".
Ibu bapa pula tidak sepatutnya menerima sahaja lamaran untuk meminang anak mereka tanpa menyelidiki latar belakang agama dan akhlak bakal menantunya. Kita bimbang, anak kita yang asalnya beragama, menutup aurat, sembahyang dan berakhlak mulia, apabila jatuh ke tangan pasangan lelaki yang tidak patuh kepada ajaran agama akan membawa fitnah kepada anak kita.
Islam juga mewajibkan ibu bapa mendidik anak dengan pendidikan Islam, mengajar mereka mengenal Allah SWT mengajar mereka sifat dan sikap yang baik, akhlak dan kesopanan, mengajar mereka batas-batas halal dan haram dan bersikap tegas kepada anak-anak.
Firman Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6 :
"Wahai orang-orang yang beriman!, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka, yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".
Allah SWT memerintahkan supaya setiap orang Islam berusaha menyelamatkan diri masing-masing dan ahli keluarga daripada azab api neraka. Dengan beramal menurut ajaran Islam. Suami hendaklah memastikan isteri masing-masing patuh kepada ajaran Islam pada perbuatan, percakapan, berpakaian dan melaksanakan apa yang diwajibkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang.
Ibu bapa hendaklah sentiasa memerhatikan tingkahlaku anak-anak mereka. Mereka hendaklah bertanya ke manakah mereka keluar, siapakah yang menemaninya, bila akan pulang dan pelbagai soalan berkaitan. Jangan membiarkan anak-anak melakukan perkara-perkara yang melanggar batas-batas agama.
Kita dapati bahawa ramai anak-anak yang tidak menunaikan solat hanya kerana sibuk melayani rakan-rakan termasuklah rakan-rakan dan kenalan secara maya seperti email, facebook, blog dan lain-lain. Berlaku juga di kalangan anak-anak remaja yang hanya pulang ke rumah untuk tidur dan makan sahaja.
Sepatutnya rumah menjadi benteng pertahanan terakhir keluarga daripada anasir-anasir yang bertentangan dengan Islam, tetapi benteng ini telah runtuh dan musnah akibat ibu bapa bertindak sambil-lewa dan lalai dalam mendidik anak-anak.
Ingatlah, anak-anak adalah harta dan amanah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita untuk dipelihara dan membentuk mereka menjadi seorang hamba Allah yang bertaqwa. Jika seseorang itu bekerja bersungguh-sungguh untuk mencari sesuap nasi sedangkan rezeki esok hari belum dapat dipastikan lagi, mengapakah kita mensia-siakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT yang berupa anak, sedangkan anak itu sendiri akan menjadi pusaka yang amat berharga apabila kita tiada lagi.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya".
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Marilah sama-sama kita menghayati ajaran Islam dalam membina sebuah rumahtangga sakinah dan bahagia. Suami yang baik dijadikan untuk isteri yang baik, akan melahirkan pula anak-anak yang soleh dan solehah, yang akan menjadi harta yang tidak ada galang gantinya.
Kefahaman Islam yang jitu, kecintaan kepada Allah dan Rasul, kesungguhan melaksanakan tuntutan Islam dalam kehidupan, merupakan benteng yang paling kukuh untuk menghadapi cabaran kehidupan manusia pada hari ini.
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami!, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan zuriat keturunan kami sebagai penenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin ikutan bagi orang yang bertaqwa".(Al-Furqan:74)
.
No comments:
Post a Comment