Marilah kita renung tentang segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita. Antaranya adalah nikmat harta yang kita miliki, ianya akan dipersoalkan ke manakah kita belanjakannya. Setiap harta yang kita miliki bukanlah hak mutlak kita sepenuhnya bahkan ada hak-hak yang perlu dilaksanakan sama ada ia berupa zakat, sedekah ataupun wakaf sebagai tanda kesyukuran kita terhadap Allah S.W.T yang menganugerahkan kurniaan tersebut kepada kita.
Wakaf bermaksud memberikan sesuatu harta yang kekal manfaatnya. Harta wakaf adalah berbentuk produktif iaitu kekal dan boleh juga dikembangkan dalam pelbagai bentuk manfaat untuk keperluan umat Islam dan generasi akan datang.
Perbuatan Rasulullah S.A.W merupakan contoh terbaik yang telah menjadi batu asas kepada amalan wakaf, di mana wakaf yang pertama sekali di dalam Islam ialah pembinaan Masjid Quba' seterusnya diikuti dengan pembinaan Masjid An-Nabawi. Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah membeli tanah tersebut daripada dua saudara yatim piatu Sahal dan Suhail dengan harga 100 dirham, kemudian mewakafkan tanah tersebut bagi pembinaan masjid.
Para sahabat juga tidak terkecuali dan berlumba-lumba dalam melaksanakan ibadah wakaf. Saidina Umar R.A contohnya telah mewakafkan sebidang tanah di khaibar untuk manfaat umat Islam. Begitu juga para sahabat yang lain. Jabir R.A berkata: tidak ada seorang pun di kalangan sahabat yang berkemampuan, tidak mewakafkan hartanya. Ini jelas menunjukkan bahawa para sahabat sentiasa berlumba-lumba untuk mencontohi perilaku Rasulullah S.A.W serta berusaha mencari redha Ilahi.
Hari ini pula kita dapat melihat bagaimana harta wakaf dapat memartabatkan ekonomi dan meningkatkan syiar Islam. Universiti Al-Azhar di Mesir contohnya telah melahirkan ratusan ribu para pelajar. Begitu juga hospital-hospital dan klinik-klinik wakaf dan beberapa institusi yang telah ditaja sepenuhnya daripada harta wakaf umat Islam di Negara-negara Islam.
Amalan wakaf ini juga merupakan satu amalan yang menjamin ganjaran pahala yang berterusan. Sebagaimana sabda Baginda Rasulullah S.A.W.:
"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan baginya". (Riwayat Muslim)
Hadith ini menjelaskan bahawa antara amalan yang tidak akan terputus ganjaran pahalanya adalan amalan wakaf seperti mewakafkan tanah, masjid, bangunan atau wang ringgit yang ditukarkan kepada aset kekal dan dapat dinikmati manfaatnya oleh orang ramai dan lain-lain. Harta yang diwakafkan ini tidak akan terhapus bahkan ianya akan terus berkembang sehingga ke Hari Kiamat.
Sudah tentu ramai di kalangan kita mampu untuk mewakafkan sedikit daripada harta yang dimiliki bagi menegakkan syiar Islam. Jika kita tidak memiliki tanah dan rumah sekalipun, cukuplah sekadar kita mewakafkan wang tunai yang kita miliki untuk mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 261:
"Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai; setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji; Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui".
Begitulah nilaian amalan infaq yang kita lakukan, menjadi besar di sisi Allah S.W.T. Apakah perniagaan yang lebih menguntungkan selain daripada perniagaan dengan menyahut seruan dan saranan Allah S.W.T?
Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah ayat 111:
"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang yang beriman, jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka,....".
Di antara hikmah-hikmah berwakaf adalah seperti berikut:-
Pertama : Dapat melahirkan perasaan kasih sayang sesama manusia di dunia dan mendapat ganjaran pahala yang berkekalan sehingga ke hari Akhirat.
Kedua : Menyemarakkan semangat saling bantu-membantu dan tolong-menolong antara satu dengan yang lain.
Ketiga : Harta wakaf bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh golongan fakir, bahkan seluruh masyarakat bakal mendapat manfaat daripada harta wakaf ini.
Keempat : Mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T serta mendapatkan kasih sayangnya.
Kelima : Harta wakaf yang diperolehi dapat digunakan bagi menegakkan ekonomi dan syiar umat Islam.
Atas dasar dan kesedaran ini, Majlis Agama Islam Selangor melalui Perbadanan Wakaf Selangor telah menggerakkan pelbagai usaha bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai amalan berwakaf. Usaha ini adalah bagi mengajak segenap lapisan masyarakat untuk turut serta mewakafkan sebahagian harta yang dimiliki. Antaranya adalah dengan mewujudkan Skim Wakaf Selangor. Skim Wakaf Selangor merupakan satu kaedah berwakaf melaui wang tunai yang ditawarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor di mana wang yang terkumpul akan ditukarkan menjadi aset kekal.
Wujudnya saham ini juga bertujuan untuk memudahkan semua umat Islam untuk berwakaf dengan membeli lot-lot saham wakaf sekurang-kurangnya RM10 bagi satu lot. Ini sebagaimana yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke 77 iaitu berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah diharuskan dalam Islam.
Antara pembayaran yang telah dijalankan hasil daripada manfaat harta wakaf adalah pembinaan Sekolah Rendah Agama Pulau Indah, Pembinaan Masjid Kelana Petra, Kelana Jaya dan pelbagai sumbangan dan projek-projek membaik-pulih surau dan masjid di Negeri Selangor. Selain itu juga, MAIS telah menyediakan beberapa premis-prmis yang dibina daripada hasil kutipan wakaf untuk disewa bagi tujuan perniagaan dan kediaman untuk kemudahan umat Islam. Pastinya setiap sumbangan yang kita wakafkan digunakan dalam pembinaan masjid, sekolah-sekolah agama, pusat-pusat tahfiz dan sebagainya yang menjanjikan pahala amalan wakaf ini mengalir ke saham akhirat kita semua.
Akhirnya, saya menyeru tuan-tuan sidang jemaah yang dirahmati Allah S.W.T, untuk sama-sama berlumba-lumba meningkatkan ketaatan kita kepada Allah melalui wakaf dan menambah tabungan kita sebelum kita kembali kepada Allah S.W.T.
"Kamu telah dilalaikan (daripada melakukan ketaatan kepada Allah) oleh perlakuan bermegah-megah (saling bangga-membangga dengan harta, anak-pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk ke liang kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kelak kamu akan mengetahui (akibat buruknya semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kelak kamu akan mengetahui (akibat buruknya pada hari kiamat)!. Sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu kan mengerjakan perkara-perkara yang akan menjadi bekalan kamu untuk jari akhirat). (Ingatlah) Sesungguhnya! Kamu akan melihat api neraka yang marak menjulang. Kemudian itu, sesungguhnya! Kamu (wahai orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! Kemudian, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah nikmati semasa di dunia)".
(Surah At-Takasur:1-8)
No comments:
Post a Comment