Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya takwa yang sebenar itu akan lahir daripada akidah yang mantap dan asuhannya yang berterusan.
Al-Quran telah mengungkapkan suatu ikatan yang penting berkaitan akidah dalam peristiwa kematian nabi Yaakub a.s. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 133;
Bermaksud : "(Demikianlah wasiat nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu dakwa itu, wahai orang yahudi)! apakah kamu turut hadir ketika (tanda-tanda) kematian telah datang kepada nabi Yaakub, iaitu ketika Baginda bertanya kepada anak-anaknya, "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati kelak?". Mereka menjawab, "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek-moyangmu: Ibrahim, Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kami tunduk serta berserah diri kepada-Nya".
Detik tenat dan nazak kematian merupakan saat perpisahan seseorang dengan keluarganya, hartanya dan dunia fana' ini seluruhnya. Saat seperti ini, biasanya digunakan oleh orang yang hampir mati untuk menyampaikan pesanan terakhir atau wasiat penting. Biasanya wasiat yang disampaikan adalah berkenaan harta peninggalan, tanah pusaka atau hak-hak yang belum selesai. Sebagai keluarga muslim, barangkali kita beranggapan bahawa persoalan agama, akidah dan ibadah sudah dikira selesai. Lalu fokus diberi kepada soal lain melibatkan hal-hal keluarga atau harta.
Namun, Al-Quran mengajar kita supaya persoalan akidah diberi keutamaan, walaupun dalam keluarga seorang nabi; nabi Yaakub a.s. Bahkan, bapanya Ishak dan datuknya Ibrahim juga adalah nabi. Logiknya, dalam sebuah keluarga nabi atau ulama', didikan akidah sudah selesai di peringkat awal atau kanak-kanak lagi. Apatah lagi keluarga nabi, yang diasuh oleh bapa dan datuknya yang juga nabi. Bahkan, salah seorang anak nabi Yaakub a.s. juga adalah nabi, nabi Yusuf a.s. Namun, soal akidah masih ditekankan di saat akhir hidup nabi Yaakub a.s. Tentunya juga, di saat anak-anak itu sudah dewasa dan sudah diasuh sekian lama.
Peristiwa ini mengajar kita tentang pentingnya Didikan Akidah. Bahkan soal agama dan akidahlah yang sepatutnya diberi keutamaan selama-lamanya, sehingga saat akhir hidup seorang bapa, seorang muslim biasa mahu pun seorang ustaz dan ulama'. Tidak kira manusia mana, hatta nabi sekalipun, soal akidah dan agamalah yang perlu diberi keutamaan dan peringatan kepada keluarganya.
Akidah merupakan perkara paling penting di dalam kehidupan manusia di dunia. Ini kerana ia menjadi penentu masa depan seorang hamba di akhirat, sama ada mendapat kebahagiaan di syurga atau kesengsaraan di neraka. Segala amal kebajikan manusia tertakluk kepada akidah yang benar. Jika akidahnya sejahtera, maka amal baiknya yang lain akan dihitung sebagai pahala. Sebaliknya, jika akidahnya rosak dan menyeleweng, segala amal baiknya menjadi hampa dan tidak berguna. Tiada sebarang balasan kebajikan diberikan kepadanya. Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 39;
Maksudnya: "Dan orang-orang kafir pula, amal-amal mereka umpama fatamorgana di tanah rata yang disangka air oleh orang yang dahaga. Sehingga bila dia datang ke tempat itu, tidak didapatinya sesuatu pun; dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah amat segera hitungan hisabnya".
Justeru, kita sebagai manusia dan hamba Allah hendaklah sentiasa memastikan keimanan kita sentiasa utuh dan meningkat. Seorang hamba tidak sewajarnya merasa selesa selepas dia beriman. Dia hendaklah memantapkan akidahnya kerana iman boleh meningkat dan boleh pula menurun. Firman Allah SWT dalam surah Al-Fath ayat 4:
Maksudnya: "Dialah Allah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman beserta dengan iman mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".
Pendidikan Akidah hendaklah diberikan penekanan kepada setiap orang ketua keluarga, bahkan kepada para pemimpin Negara dan masyarakat. Ia hendaklah sentiasa ditingkatkan dengan perkataan baru dan semasa. Justeru, kita melihat Al-Quran sentiasa memberi penekanan dalam soal ini. Setiap halaman Al-Quran tidak akan lepas daripada menjelaskan persoalan akidah, walaupun ketika menceritakan kisah umat yang terdahulu mahupun dalam membahaskan ayat-ayat hukum-hakam.
Rasulullah s.a.w. mengambil masa 13 tahun berdakwah di Mekah. Tumpuan Baginda s.a.w. ketika ini adalah menanamkan akidah yang mantap dalam diri kaum muslimin. Tidak banyak Hukum Pensyariatan dalam tempoh ini. Ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan dalam tempoh ini juga menekankan soal akidah. Sehingga apabila hijrah Baginda berlaku pada tahun ke 13 kerasulannya, maka barulah Allah SWT menurunkan ayat-ayat yang menyentuh soal hukum-hakam ibadah, mu'amalah, pembinaan keluarga, masyarakat dan Negara.
Justeru, kita melihat kemantapan pegangan akidah ada pada generasi pertama Islam ini. Tidak kira ayat dan hukum apa pun yang turun ke atas mereka, mereka tetap menerima dan melaksanakannya. Bahkan, generasi para sahabat itu tetap kekal dengan keimanan walaupun mereka ditimpakan dengan pelbagai tekanan dan siksaan.
Contoh ini jauh berbeza dengan suasana generasi kita hari ini. Kita mahu menyelidik dan mengetahui hikmah perintah suruhan dan larangan Allah, tetapi belum tentu kita melaksanakannya. Kita seronok mengkaji falsafah di sebalik hukum-hakam Islam, tetapi kita belum berjaya menjadikannya terlaksana dalam masyarakat dan Negara kita. Semua itu berpunca dari perbezaan tahap keimanan kita dengan generasi awal Islam.
Iman dan akidah yang kita miliki inilah yang akan menjadi benteng untuk memelihara diri kita daripada gejala kemurtadan. Orang yang bersungguh-sungguh mempertahankan keyakinannya akan mendapat kejayaan abadi di akhirat kelak. Semoga di akhir hayat kita akan menjadi Husnul-Khatimah (Kesudahan yang baik).
Marilah kita budayakan Pendidikan Akidah dalam kehidupan seharian, sama ada dalam lengkungan keluarga, rakan-rakan mahupun masyarakat umum. Antara langkah yang perlu dilaksanakan adalah:
Pertama: Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak dan keluarga mendapat Pendidikan Akidah dengan sebaiknya. Setiap individu hendaklah sentiasa menasihati ahli keluarga dan rakan-rakan supaya taatkan Allah dan beriman dengan hari akhirat dalam setiap urusan kehidupan. Kita hendaklah meringankan lidah untuk menyebut hal-hal berkaitan balasan di akhirat.
Kedua: Institusi Pendidikan termasuk masjid perlu menggunakan pendekatan semasa dan terkini dalam mendidik masyarakat memantapkan akidah. Ini termasuklah mengaitkan Pengajaran Akidah dengan Penemuan-penemuan Sains yang terkini. Pendekatan ini akan lebih memudahkan pemahaman umat Islam dalam mengukuhkan keimanan mereka. Di samping itu hendaklah menitik-beratkan soal akidah dalam Sistem Pendidikan, Media Massa dan Program-program Latihan, termasuk Kem-kem Motivasi dan lain-lain lagi.
Sebagai kesimpulannya, marilah kita sama-sama memantapkan akidah agar kita dapat mengakhiri hidup kita sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT. Sikap sambil-lewat dan mengabaikan Pendidikan Islam hanya akan menjerumuskan umat Islam akan datang ke lembah yang hina dan kesesatan.
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman!, peliharalah diri kamu (daripada melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudharat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah jualah tempat kembalinya kamu semua, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (untuk membalasnya)".
.
No comments:
Post a Comment