Apabila kita berusaha mencari dana di dunia ini sebelum ke akhirat, terlintas di fikiran kita untuk mencari segala keperluan yang berupa wang, harta dan kemewahan di dunia sebelum ajal menemui kita. Inilah perkara yang selalu difikirkan oleh sebahagian masyarakat kita sehinggalah kita lupa bahawa kehidupan ini sebenarnya hanya sementara untuk mencari bekalan menuju kehidupan yang hakiki di akhirat kelak.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Rebutlah lima
perkara sebelum berlakunya lima perkara; masa mudamu sebelum tiba masa tuamu,
masa sihatmu sebelum tiba masa sakitmu, masa kayamu sebelum tiba masa fakirmu,
masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum tiba
kematianmu."
(Riwayat Al-Hakim)
Berdasarkan hadis di atas jelas menunjukkan bahawa sementara kita hidup di dunia, sewajarnya kita penuhkan diri kita dengan mencari dana berupa ilmu dan amal, bukannya mencari kemewahan dan kesenangan hidup semata-mata. Malah dengan ilmu ia menjadi pedoman hidup dan mendasari segala tindak tanduk dan amalan kita.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra' ayat 36:
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai
pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati,
semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya".
Ilmu dalam ertinya memahami sesuatu dengan hakikatnya. Dengan pengetahuan inilah manusia melakukan
perbuatan amalnya. Jika manusia tidak memiliki ilmu dan amal, maka tiadalah
dana baginya di dunia dan sia-sialah hidupnya serta mendapat kerugian di
akhirat. Telah disebut dalam Matan Zubad:
"Dan
bagi mereka yang beramal tanpa ilmu, amalannya akan ditolak, tidak diterima".
Saidina Ali Bin Abi Talib
berkata, "Ilmu adalah pemimpin amal dan amal adalah pengikutnya." Demikian juga
dengan sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang beramal tanpa ilmu maka adalah lebih banyak membawa kerosakan daripada kebaikan" .
(Riwayat
Abi Said)
Berdasarkan hujah-hujah
tersebut jelaslah bahawa usaha menambah ilmu pengetahuan dan diiringi dengan
amal adalah harta yang amat bernilai untuk memperoleh keredhaan Allah di dunia
dan akhirat.
Setiap amalan akan mempunyai
nilai jika berlandaskan ilmu pengetahuan, begitu juga dengan ilmu akan
mempunyai nilai yang tinggi jika diiringi dengan amal. Keduanya tidak dapat
dipisahkan dalam kehidupan manusia.
Pengertian amal dalam
pandangan Islam adalah setiap amal soleh atau setiap perbuatan kebajikan yang
diredhai oleh Allah SWT. Dengan demikian, amal menurut Islam tidak hanya
terbatas pada ibadah, sebagaimana ilmu dalam Islam tidak hanya terbatas pada
ilmu fikih dan hukum-hukum agama sahaja.
Ilmu ini mencakupi semua yang
bermanfaat bagi manusia seperti meliputi ilmu agama, ilmu alam, ilmu sosial dan
lain-lain. Ilmu-ilmu ini jika difahami dan dikembangkan dengan sebaiknya akan
memberikan impak yang besar kepada peradaban dan kemajuan tamadun manusia.
Misalnya, perkembangan sains dan teknologi akan memberikan kemajuan dan daya saing
dalam kehidupan manusia. Demikian juga perkembangan ilmu-ilmu sosial akan
memberikan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang berlaku dalam masyarakat.
Justeru, penghayatan ilmu dengan amalan merupakan satu perkara yang dituntut
oleh Islam.
Menurut para ilmuan Islam,
untuk menjadi orang bijaksana, terdapat dua hubungan ilmu dengan amal iaitu;
Pertama : Ilmu adalah pemimpin dan pembimbing amalan Perbuatan seseorang. Bertindak melakukan sesuatu tanpa didasari pengetahuan atau ilmu adalah umpama berjalan dalam kegelapan, tidak menuju ke arah tujuan yang sebenar.
Kedua : Sesungguhnya
ilmu dan amal saling beriringan. Sesiapa yang berilmu maka dia hendaklah
beramal, baik ilmu yang berkaitan dengan masalah ibadah mahupun ilmu-ilmu yang
lain. Amal merupakan buah dari ilmu, jika ada orang yang mempunyai ilmu tapi
tidak beramal maka seperti pohon yang tidak menghasilkan manfaat bagi
penanamnya.
Dalam Matan Zubad juga ada dinyatakan:
"Seorang yang
berilmu, tapi tidak beramal dengan ilmunya, maka dia akan diazab terlebih
dahulu daripada penyembah berhala".
Jika ilmu tidak diamalkan, maka akan memberikan
kesan yang negatif dalam masyarakat. Penyakit sosial yang berlaku hari ini
adalah hasil daripada kejahilan dan juga wujudnya golongan berilmu tetapi tidak
beramal dengan ilmunya. Oleh itu bagi memperbaiki dan memulihkan penyakit
masyarakat yang ada bukan hanya sekadar mengajar di sekolah atau di pusat-pusat
pengajian tinggi sahaja, malah lebih penting lagi golongan berilmu hendaklah
turun ke medan-medan dakwah memberi kaunseling, khidmat nasihat, bimbingan dan
sebagainya secara sukarela bagi memastikan penyakit masyarakat seperti gejala
sosial dan sebagainya dapat diubati. Ilmu pengetahuan juga adalah untuk
disampaikan, bukan disembunyikan.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah 159:
"Sesungguhnya orang
yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan
dan hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab suci,
mereka itu dilaknat oleh Allah dan sekalian makhluk".
Padahal, kaedah Islam
menekankan bahawa ilmu sentiasa menyeru kepada amal perbuatan termasuk
kerja-kerja amar ma'ruf dan nahi mungkar maka muncullah kemanisan iman hasil
daripada jihad yang dipraktikkan. Namun jika tidak, maka ilmu akan tinggal ilmu
di kitab-kitab, di perpustakaan dan hanya untuk kajian ilmiah semata-mata tanpa
memberikan faedah yang lebih daripada itu. Jika demikian halnya tidak lebih
nilai ilmu itu hanya teori sahaja namun praktikalnya kurang dan ini amat bertentangan
dengan ajaran Islam itu sendiri.
Pertalian ilmu dengan amal tidak hanya dituntut kepada para pelajar agama dan para ilmuan sahaja bahkan juga
dituntut kepada setiap orang, baik yang memiliki ilmu sedikit ataupun banyak.
Namun, tentunya orang-orang yang berilmu memiliki tanggung jawab yang lebih
besar dalam hal ini, kerana mereka memiliki kemampuan yang lebih. Allah SWT
berfirman dalam surat Ash-Shaff, ayat 2-3:
"Wahai orang yang beriman, mengapa kamu
memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di
sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesutu yang kamu tidak melakukannya".
Jika kita hayati dengan mendalam ayat-ayat al-Qur'an, nescaya kita akan menemukan bahawa al-Qur'an
senantiasa menggandengkan ilmu dengan amal. Oleh itu, hendaklah menjadi
kewajipan orang yang menuntut ilmu itu beramal dengan ilmunya. Ia hendaklah
bersungguh-sungguh menyampaikannya pula kepada segenap lapisan masyarakat
dengan ikhlas dan rasa penuh tanggungjawab tanpa ada kepentingan tertentu yang
hendak diraih.
Oleh yang demikian, berilah
keutamaan kepada perkembangan ilmuan dan kepentingannya melalui langkah
berikut;
Pertama : Berusaha sedaya
upaya untuk mendapatkan ilmu pengetahuan seperti fardhu ain
yang mengandungi aqidah dan syariah sementara kita hidup di dunia.
Kedua : Memberi
galakan kepada semua generasi termasuk ibubpa, anak-anak dan pemuda
untuk memahami syariat Islam melalui ilmu pengetahuan. Dengan langkah itu
kehidupan masyarakat Islam akan sentiasa dalam panduan dan landasan sebenar.
"Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi
mereka syurga Firdaus, sebagai tempat tinggal".
(Al-Kahfi
: 107)
No comments:
Post a Comment