PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

ZAKAT:RAHMAT BUAT UMMAH


Zakat adalah salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh orang Islam yang mencukupi syarat-syaratnya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Islam didirikan di atas lima perkara, iaitu bersaksi bahwa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan mengerjakan haji ke Baitullah bagi sesiapa yang berkemampuan.
(Muttafaq 'Alaih)

Zakat merupakan salah satu bukti kesyumulan ajaran Islam. Ini kerana, Islam bukan hanya mengajar umatnya memelihara hubungan dengan pencipta yang Maha Esa dengan melakukan ibadah seperti solat, zikir, puasa dan ibadah lain yang berbentuk kerohanian. Akan tetapi, Islam turut mengajar umatnya agar memelihara hubungan sesama manusia dengan memberikan harta kekayaan yang dimiliki untuk dikongsi bersama orang yang sangat memerlukan. Bahkan, pensyariatan zakat merupakan bukti bahawa Islam adalah agama yang mengambil berat tentang sistem ekonomi, sosial, pembangunan fizikal, pendidikan dan seluruh aspek kehidupan manusia.


Atas dasar itulah, Allah SWT telah menurunkan panduan kepada umat Islam dengan menentukan siapakah golongan yang layak menerima zakat.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 60 :

"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir dan orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang muallaf yang dijinakkan hatinya (dengan Islam), dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang musafir (yang putus bekalan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. (Ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".

Jelaslah, bahawa golongan yang berhak menerima zakat telah ditentukan oleh Allah SWT yang Maha Bijaksana.

Pengagihan dan penyaluran zakat adalah matlamat utama kenapa ibadah ini disyariatkan kepada umat Islam. Meraka yang tidak tergolong dalam asnaf yang dinyatakan dalam ayat di atas, adalah tidak layak menerima zakat, bahkan haram menerimanya kerana ia sebenarnya telah mengambil hak asnaf yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Bahkan, menurut pendapat sebahagian ulama, orang yang mengeluarkan zakat dengan menyerahkannya kepada golongan yang bukan asnaf, hukum zakatnya adalah tidak sah dan ia masih tidak terlepas daripada kewajipan mengeluarkan zakat.

Oleh itu, zakat mesti diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya berdasarkan hukum yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Dalam hal ini, Ziad bin Harith menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w telah didatangi oleh seorang lelaki yang meminta zakat lalu Nabi s.a.w. bersabda;

"Sesungguhnya Allah SWT tidak meredhai Nabi-Nya dan orang lain untuk menentukan hukum dalam permasalahan (pemberian) zakat. Hanya Allah SWT sahajalah yang berhak untuk menentukannya, dan Dia telah menentukannya kepada lapan golongan. Sekiranya engkau termasuk di antara golongan itu, maka aku akan berikan hakmu".
(Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan panduan Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. inilah maka Lembaga Zakat Selangor sebagai Amil zakat di negeri ini, berusaha sedaya-upaya untuk mengagihkan harta zakat kepada golongan yang sangat memerlukan bantuan. Sesungguhnya, usaha ini tidak akan mencapai kejayaan tanpa sokongan dan dokongan pembayar-pembayar zakat yang telah mengeluarkan harta mereka untuk diserahkan kepada asnaf-asnaf penerima zakat semata-mata demi mentaati perintah Allah SWT dan mengharapkan keredhaan-Nya.

Berdasarkan penyata kutipan dan agihan zakat bagi tahun 2010, Lembaga Zakat telah berjaya mengutip sebanyak RM336.9 juta. Dalam tempoh yang sama juga, Lembaga Zakat telah berjaya mengagihkan sebanyak RM330.4 juta melalui pelbagai jenis bantuan dan program pembangunan kepada 8 golongan asnaf. Ini bermakna, Lembaga Zakat telah mengagihkan sebanyak 97% zakat kepada umat Islam di negeri Selangor.

Pada tahun 2010, asnaf fakir dan miskin telah menerima agihan sebanyak RM127.2 juta melalui bantuan seperti kewangan dan makanan bulanan, pembinaan dan pembaikan rumah, bantuan modal perniagaan, biasiswa pendidikan dan sebagainya. Melalui bantuan ini, seramai 21,000 asnaf fakir miskin di Negeri Selangor telah mendapat manfaat yang cukup besar untuk meneruskan kehidupan mereka. Bahkan, anak-anak mereka turut berpeluang untuk mendapat pendidikan yang sempurna sebagaimana anak-anak orang lain melalui bantuan yuran sekolah, biasiswa pendidikan dan keperluan pendidikan.

Diharapkan, anak-anak asnaf ini suatu hari kelak akan dapat membela dan mengubah nasib ibubapa mereka yang serba kekurangan. Tidak mustahil, bahawa suatu hari nanti penerima-penerima zakat ini akan berubah menjadi pembayar-pembayar zakat.

Sementara itu, asnaf muallaf pula telah menerima agihan sebanyak RM19.9 juta melalui program seperti kursus dan latihan, pembinaan dan pembaikan rumah, sumbangan kepada Badan dan Persatuan Muallaf, saguhati galakan saudara baru, bantuan modal dan pelbagai lagi program yang dapat mendidik dan membantu mengukuhkan akidah, kefahaman dan pembangunan diri.

Alangkah besarnya pahala yang diperolehi oleh pembayar-pembayar zakat yang telah mengeluarkan zakat mereka untuk digunakan bagi memelihara akidah dan kefahaman saudara-saudara baru yang sedang berjinak- jinak dengan Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Demi Allah, sungguh sekiranya Allah memberi hidayah kepada seseorang dengan sebab engkau, itu lebih baik bagimu daripada kamu memiliki unta merah."
(Riwayat Al-Bukhari)

Bagi memelihara kesucian akidah dan pemurnian akhlak masyarakat Islam, sebanyak RM2.5 juta telah diagihkan bagi asnaf ar-Riqab melalui program pemulihan akidah dan pemulihan akhlak yang diuruskan oleh Majlis Agama Islam Selangor.

Lembaga Zakat juga telah mengagihkan sebanyak RM29.1 juta bagi asnaf Gharimin melalui program seperti bantuan rawatan dialisis dan sumbangan mesin dialisis, hutang perubatan, hutang keperluan hidup dan pengurusan jenazah tanpa waris. Sesungguhnya, bantuan ini sangat bermanfaat untuk membantu golongan yang menghadapi penyakit kritikal.

Betapa mulianya hati orang yang membayar zakat, kerana harta mereka digunakan untuk membantu saudara-saudara Islam yang sedang ditimpa ujian dan musibah penyakit. Inilah di antara kemuliaan ajaran Islam yang mengajar umatnya untuk merasai susah senang kehidupan bersama-sama. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Perumpamaan orang yang beriman dalam kasih sayang, kecintaan dan kelemah-lembutan diantara mereka adalah bagaikan satu tubuh, apabila ada satu anggotanya yang sakit maka seluruh tubuhnya yang lain juga akan merasakan demam dan tidak boleh tidur." (Muttafaq ‘Alaih)

Bagi asnaf Fisabilillah pula, sebanyak RM108.3 juta telah diagihkan untuk menyokong usaha murni perjuangan menegakkan agama Islam dan menghidupkan syiar Islam. Usaha ini dapat dilihat melalui peruntukan RM26 juta untuk membayar elaun guru-guru Fardhu Ain yang berjuang demi memastikan anak-anak Islam di Selangor mendapat pendidikan ilmu dan penghayatan agama yang terbaik.

Wang zakat sebanyak RM7.1 juta turut disalurkan kepada persatuan dan badan-badan Islam yang berusaha melaksanakn usaha-usaha dakwah Islam dan program Amar Makruf dan Nahi Mungkar. Walaupun mereka yang membayar zakat tidak terlibat dalam usaha yang dijalankan oleh badan-badan tersebut, tetapi yakinlah bahawa pahala dan ganjaran Allah pasti akan diperolehi oleh mereka yang telah menyumbangkan hartanya dengan berzakat demi mengharapkan redha Allah SWT.

Firman Allah dalam surah as-Soff ayat 9-10:

"Dialah Yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang musyrik membacanya. Wahai orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?".

Selain itu, Lembaga Zakat juga telah menyalurkan sebanyak RM14.6 juta untuk program Bantuan Umum Pelajaran bagi membiayai kos pendidikan masyarakat Islam di negeri Selangor samada di peringkat sekolah rendah, menengah, sijil, diploma, ijazah dan pasca ijazah. Sebanyak RM8.2 juta turut disalurkan untuk membiayai dermasiswa pelajar di luar negara khususnya di Timur Tengah dalam pelbagai bidang seperti pengajian Islam, perubatan, ekonomi Islam dan bahasa Arab.

Usaha ini diharapkan dapat memberi peluang kepada umat Islam di negeri Selangor untuk mendapat pendidikan yang sepatutnya di samping melahirkan pelapis ilmuan, profesional, pemimpin dan ulama pada masa akan datang.

Walau bagaimanapun, masih terdapat kekurangan dan kelemahan dalam usaha pengagihan zakat yang dilaksanakan selama ini. Kadangkala berlaku keciciran asnaf yang layak menerima zakat. Pelbagai usaha, aktiviti dan program telah dilaksanakan. Bagi mengatasi permasalahn tersebut, pihak Lembaga Zakat menyeru seluruh masyarakat untuk sentiasa prihatin dan menyampaikan maklumat mereka yang benar-benar memerlukan bantuan zakat kepada kepada pihak Lembaga Zakat .

Sesungguhnya, zakat adalah rahmat yang dikurniakan oleh Allah kepada seluruh umat manusia. Rahmat ini bukan hanya dapat dirasai oleh penerima zakat, bahkan turut dikongsi bersama oleh pembayar zakat dan umat Islam seluruhnya.

Alangkah mulianya tangan-tangan mereka yang telah menginfaqkan hartanya di jalan Allah SWT. Allah SWT amat mencintai golongan ini dan pasti akan mengurniakan mereka dengan ganjaran yang tidak ternilai harganya.

"Adapun orang yang memberikan (menafkahkan hartanya) apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya, dan dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga)". 
(Al-Lail : 5-7)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...