Alhamdulillah kita masih diberi masa untuk menyambut ulang tahun ke 56 negara mencapai kemerdekaan. Bagi warga emas berumur lebih ½ abad, setiap kali memperingati hari ulang tahun kemerdekaan pasti akan terbayang dalam ingatan mereka terhadap 3 zaman iaitu:
1. Zaman Pemerintahan Penjajahan Inggeris
2. Zaman Penjajahan Jepun
3. Zaman Menghadapi Kezaliman Komunis
Zaman tersebut menyumbang penderitaan lahir batin yang tidak ada tolok bandingnya. Mereka menghadapi kekurangan makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan harian yang lain. Sebahagian mereka menjadi buruh paksa yang dipaksa kerja berat oleh tentera Jepun di medan perang, membina jalanraya, jalan keretapi dan jambatan. Mereka dipaksa memikul beban yang terdiri dari bahan perang, dengan makanan dan pakaian yang sangat terhad, sehingga ada antara mereka yang mati terlantar di tengah hutan belantara diseluruh pelosok Asia Timur, tidak ada rawatan dikala sakit, tiada pengurusan jenazah di kala meninggal.
Dengan izin Allah, berkat kegigihan para pejuang bangsa kita yang tidak mengenal kalah, kita mencapai kemerdekaan menjadi bangsa terhormat, bangsa yang bebas dan merdeka, mempunyai Negara sendiri. Semua itu adalah kerana rahmat Allah SWT, kerana Allah lah yang membangkitkan keinginan merdeka kepada pejuang kita. Allah lah yang menyuburkan keberanian untuk bertempur melawan penjajah dan mempersatupadukan bangsa kita sehingga kuat dan mencapai kemerdekaan.
Dalam memperingati hari ulang tahun kemerdekaan tanah air kita ini, kita hendaklah bersyukur dan berdoa serta memuji Allah SWT serta meningkatkan ibadat terhadapNya. Sangatlah dikhawatirkan kalau terdapat dikalangan kita hanya merayakan sambutannya dengan mengadakan acara seperti olah raga, berpesta ria sahaja tetapi lupa sama sekali untuk mengingati allah SWT dan melaksana ibadat menyembah-Nya.
Sesungguhnya hakikat kemerdekaan itu adalah mempunyai rakyat yang berjiwa terdidik, berfikiran kelas pertama, bercita-cita tinggi, memiliki pengetahuan yang luas, sehingga tugas memartabatkan bangsa dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Sekiranya hal-hal seperti ini dapat kita laksanakan, maka yang demikian itu merupakan ungkapan rasa syukur kepada Allah SWT yang telah menganugerahkan kemerdekaan kepada kita. Sebaliknya kalau kita tidak mahu berbuat sesuatu di dalam mengisi kemerdekaan ini, berarti kita telah mengkhianati pejuang kemerdekaan yang telah gugur dan disamping itu kita telah mengkufuri nikmat Allah SWT.
Syukur adalah salah satu sifat yang mulia dalam ajaran Islam. Orang yang bersyukur dipuji oleh Allah SWT dan dijanjikan dengan balasan yang baik di dunia dan di akhirat. Allah SWT telah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7;
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih".
Kesejahteraan negara banyak bergantung kepada sejauh mana kualiti setiap rakyatnya. Jika masyarakat mengamalkan budaya hidup yang murni dan berakhlak mulia maka negara akan kukuh dan bertambah maju. Tetapi jika masyarakat mengamalkan gaya hidup yang keji seperti mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, negara akan runtuh dan bertambah mundur kerana perbuatan rasuah boleh meruntuhkan sistem pentadbiran sesebuah organisasi dan dengan itu akan menghancurkan negara seluruhnya.
Perbuatan rasuah adalah lahirnya daripada seseorang yang bersifat rendah akhlak iaitu sifat tamak haloba, ingin memuaskan nafsu, ingin cepat kaya dan sebagainya. Apabila sifat-sifat ini menguasai seseorang, maka akan ada orang yang sanggup memberi rasuah, menerima rasuah atau menjadi perantaranya. Maka setiap rakyat Malaysia hendaklah membersihkan diri dari terlibat dalam perbuatan yang hina dan kotor itu.
Hadis daripada Abu Hussain daripada Syuraih bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah".
(Riwayat Ibnu Syaibah)
Untuk membangun bangsa dan negara, setiap orang hendaklah meningkatkan diri menjadi manusia yang lebih baik dan lebih produktif. Lebi-lebih lagi para pemimpin, penjawat awam, pengusaha, guru dan ulama. Setiap orang wajib menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik, menjadi muslim dan muslimah yang soleh dan solehah.
Selain dengan bekerja keras dan berusaha untuk meningkatkan produktiviti ialah memperkukuhkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT serta melaksanakan peraturan dan undang-undang yang telah ditentukan Allah SWT.
Kita hendaklah sedar bahawa bumi dan langit adalah milik Allah SWT. Segala isinya diciptakan Allah SWT adalah untuk manusia agar kita ingat, bersyukur, memuji dan beribadat kepadaNya. Dengan akhlak mulia kita dapat membentuk sebuah negara maju yang aman dan makmur yang akhirnya dapat memberi kesejahteraan kepada setiap rakyatnya.
Antara perkara penting dalam memelihara kemerdekaan adalah perpaduan. Perpaduan Ummah adalah penting supaya kemerdekaan memberikan rahmat kepada rakyat. Dasar dan prinsip perpaduan dalam Islam sudah jelas di dalam al-Quran dan diterangkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam sunnahnya.
Hakikat perpaduan dalam Islam mempunyai bentuk yang tersendiri iaitu berpakat, berpadu, bersatu, berpegang dengan Hablillah yang ditafsirkan oleh ulama sebagai kitab Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW maka, mereka yang berpegang dengan dua sumber ini adalah orang yang bersatu padu dan tidak berpecah belah dari ajaran Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103,
"Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah SWT (Agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai".
Satu daripada sebab yang menggagalkan perpaduan ummah adalah fitnah memfitnah. Fitnah diertikan sebagai sengaja mengadakan-adakan keburukan dan kekurangan orang lain, menokok tambah keaiban serta kelemahan orang dan memalsukan kebaikan sehingga menjadi keburukan.
Adapun antara tujuannya adalah untuk memburukkan seseorang. Ada juga pihak yang memfitnah dengan tujuan mempromosikan diri disamping memburukkan pihak lawan. Ia bukan saja boleh menyakiti seseorang, malah boleh menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat.
Dalam Islam, fitnah adalah salah satu sifat yang terkeji dan termasuk dalam dosa besar. Daripada semua sifat mazmumah yang dihuraikan, fitnah menduduki tangga teratas dari segi kekejiannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Buruj ayat 10;
"Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat)".
Dalam satu riwayat menyatakan, pada malam Israk dan Mikraj, Rasullullah s.a.w diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang sedang menggunting lidah dan bibir dengan gunting. Baginda s.a.w bertanya kepada Jibril: "Siapakah mereka itu? Jibril menjawab: Mereka adalahpenyebarfitnah". (Riwayat at-Tabrani)
Lazimnya perbuatan memfitnah boleh berlaku kepada setiap orang, akibat didorong oleh perasaan tamak, iri hati, mementingkan diri sendiri dan lain-lain sifat negatif. Selain itu, ia juga boleh berlaku jika seseorang itu mengutamakan keduniaan melebihi kepentingan agama.
Ia boleh mendatangkan kesan buruk seperti menjatuhkan keaiban seseorang dan seterusnya mengundang perpecahan serta perbalahan dalam masyarakat. Ini kerana orang yang difitnah akan mempertahankan diri dan apabila tahap kesabaran mula hilang, ia bertindak lebih agresif dan di luar batasan kemanusiaan.
Kemerdekaan tidak mempunyai arti apa-apa tanpa disertai dengan sesuatuyang dapat menjunjung martabat bangsanya. Disinilah terletak kewajiban kita di dalam mengisi kemerdekaan. Usaha mengubah nasib bangsa dari keterbelakangan menjadi bangsa yang maju dalam segala bidang. Adil dalam pemerintahannya, stabil dalam politiknya, kukuh dalam ekonominya, sempurna dalam pendidikannya dan mantap dalam pegangan agamanya.
Allah SWT berfirman dalam surah ar-Ra'd ayat 11;
"Sesungguhnya Allah SWT tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri".
Kesimpulan dan pengajaran yang dapat diambil daripada khutbah ini adalah;
1. Sempena menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, kita hendaklah bersyukur kehadrat Allah SWT dengan meningkatkan ibadah kepada-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
2. Usaha memupuk perpaduan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah mestilah dipertingkatkan supaya Negara terselamat daripada ancaman musuh.
3. Sifat-sifat keji seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain perkara negatif hendaklah dihindarkan supaya pembangunan Negara dapat berjalan dengan lancar.
4. Seluruh rakyat hendaklah bekerjasama dan berusaha memajukan Negara dengan meningkatkan produktiviti dengan berpegang kepada agama dan pembangunan modal insan.
"Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang berlimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan".
(Al-‘Araf : 96)
No comments:
Post a Comment