PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

TERIMA KASIH CIKGU

Hari ini merupakan sambutan hari guru dengan tema “Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi”. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengucapkan “Terima Kasih Cikgu”. Guru memainkan peranan penting sebagai agen perubahan yang sentiasa kreatif dan inovatif, mempunyai keterampilan yang tinggi. Sentiasa membudayakan inovasi dalam gelombang transformasi pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang bersedia mencapai kecemerlangan dalam kehidupan. Warga pendidik berkeupayaan menyediakan peluang kepada murid bagi mendapat pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna, kreativiti yang mampu meningkatkan kemahiran murid dalam mendepani persekitaran kehidupan sebenar. 


Dewasa ini semua pihak menyedari bahawa kerjaya sebagai guru merupakan tugas yang penuh dengan cabaran. Antaranya ialah kekangan masa, ancaman gejala sosial serta berhadapan dengan karenah pelbagai pihak. Hakikatnya tugas guru sejak dahulu hingga kini sentiasa dipenuhi ujian dan dugaan. 

Selain itu guru juga berhadapan dengan cabaran mendidik murid yang pelbagai ragam dan karenah. Murid-murid kini terdedah dengan bermacam-macam anasir luar seperti hiburan yang melampau dan sebagainya. Maka terdapat sebilangan mereka yang terpengaruh dan terikut-ikut budaya asing seperti hedonisme iaitu budaya berhibur secara melampau, seks bebas, arak, merokok dan sebagainya. Sebahagian yang lain pula leka dengan laman sosial samada melalui komputer ataupun telefon bimbit. Ini menjadikan proses mendidik mereka berhadapan dengan kesukaran dan memerlukan masa yang panjang. Fenomena ini bertambah parah apabila rasa hormat kepada guru semakin terhakis di kalangan murid. 

Dalam masa yang sama, guru juga terpaksa berhadapan dengan sebahagian ibu bapa yang kurang menghormati guru dan terlalu membela kesalahan anak tanpa usul periksa. Situasi sebegitu memberikan sedikit kesan negatif terhadap usaha guru dalam membentuk peribadi anak-anak. Seharusnya ibu bapa menyedari bahawa merekalah yang memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak. Peranan mendidik anak-anak tidak harus diletakkan seratus peratus di bahu guru-guru, bahkan guru hanya membantu untuk melengkapkan proses pendidikan tersebut. Maka akan ada keharmonian antara guru dan ibu bapa dengan agenda yang sama iaitu melahirkan anak-anak yang teguh imannya di samping mantap keilmuannya. 

Hadis daripada Abu Hurairah RA. bahawa Rasulullah SAW. bersabda : 

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci iaitu islam, maka ibu bapanyalah yang mendidik anaknya menjadi seperti yahudi atau nasrani atau majusi”.  (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Masyarakat perlu memainkan peranan dengan meletakkan guru di tempat yang selayaknya. Ikon dan ikutan anak-anak hari ini perlu diperhatikan dan diperhalusi agar tidak tersasar hingga meletakkan mereka yang tidak sepatutnya sebagai ikutan. 
 Guru merupakan agen perubah masyarakat yang terus istiqamah menyambung tradisi penyampai ilmu yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW iaitu sebaik-baik guru yang patut kita contohi. 
Firman Allah dalam surah al-Jumuah ayat 2:

Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW.) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak). dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”.

Tarbiah yang mantap oleh baginda Rasulullah SAW telah melahirkan sahabat-sahabat yang hebat seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar bin al-Khattab, Saidina Othman bin Affan, Saidina Ali bin Abi Talib dan sahabat-sahabat lain yang memiliki sifat keimanan yang kukuh, keperibadian yang mulia dan ketokohan yang tiada tandingannya. 

Sejarah telah melakarkan lahirnya ulama-ulama besar seperti Imam Syafie dan Imam Al Ghazali adalah hasil tarbiah dan didikan seorang yang bernama guru.

Begitu juga kehebatan Sultan Muhammad Al Fateh yang telah berjaya membuka Kota Kostantinopel walaupun berusia 21 tahun adalah merupakan hasil didikan dan asuhan ulama tersohor yang menjadi murabbi beliau.

Kejayaan ini pernah dijanjikan oleh Nabi Muhammad SAW. melalui hadisnya yang berbunyi :

“Pasti suatu hari nanti akan dibebaskan Kota Kostantinopel itu, maka sebaik-baik raja, itulah rajanya, dan sebaik-baik tentera, itulah tenteranya”  (Riwayat Imam Ahmad).

Oleh itu, masyarakat perlu sedar bahawa pentingnya kewujudan guru dalam kehidupan komuniti seharian kita. Pujangga Arab juga ada mengatakan :

Bangun dan berilah penghormatan sepenuhnya kepada guru, kerana hampir-hampir tugas seorang guru itu menyamai tugas seorang rasul

Di kala ini, kita melihat betapa masyarakat generasi kini semakin lama semakin terpesong dari akhlak dan budaya Islam. Sebahagian murid tidak lagi melihat guru sebagai individu yang patut dihormati, bahkan segelintir di kalangan mereka berani mengherdik, mengugut bahkan memukul guru. Keadaan ini disebabkan oleh kurangnya berkat ilmu yang diperolehi oleh murid, sedangkan mereka saban hari didedahkan dengan ilmu agama dan akhlak. Di manakah silapnya semua ini?.

Seandainya kita menyingkap suatu kisah atau sejarah yang dilalui oleh generasi salafus solih terdahulu, maka kita akan dapati betapa generasi terdahulu sangat menitikberatkan persoalan adab di dalam menuntut ilmu. Justeru, mereka berjaya mengecap nikmat barakah ilmu yang akhirnya melahirkan generasi Islam yang digeruni di seluruh pelusuk dunia, termasuk oleh pihak musuh Islam itu sendiri.

Ini adalah suatu bentuk kekuatan hasil daripada keberkatan ilmu yang dikecapi oleh mereka. Keberkatan ilmu itu terhasil daripada adabnya seorang murid terhadap guru, diantaranya ialah dengan cara melihat gurunya itu dengan pandangan hormat serta memuliakannya. 

Saidina Ali RA. pernah berkata yang maksudnya: 

Aku bersedia menjadi hamba kepada orang yang mengajarkanku walau satu huruf. Jika mahu, dia boleh menjualku. Jika mahu, dia boleh menjadikanku hamba, dan jika mahu dia boleh memerdekakanku”. 

Begitulah betapa hebatnya peribadi sahabat besar Rasulullah s.a.w. Betapa mereka memuliakan guru serta menjaga adab dengannya, sehingga Allah SWT menjadikan mereka insan yang mulia dunia dan akhirat. 
 
Antara adab-adab bagi seseorang penuntut, ialah dengan merendahkan diri sebagai murid apabila berada di hadapan guru, walaupun guru tersebut seorang yang kurang dari sudut duniawi, pangkat mahupun harta. Imam al-Syafie, walaupun beliau seorang yang alim dan tinggi dari sudut ilmu dan akhlaknya, namun apabila beliau berguru dengan seseorang walaupun pada perkara yang remeh, beliau akan merendahkan dirinya di hadapan guru serendah-rendahnya. Suatu masa beliau ditanya tentang sikapnya yang suka merendah diri terhadap guru, maka beliau menjawab: 

Aku menghinakan diriku di hadapan mereka, maka mereka memuliakan diriku. Seseorang itu tidak akan dimuliakan oleh diri yang sombong dan tidak pandai merendahkan diri”. 

Marilah kita imbas kembali intipati penting perbahasan ini, 
 
Pertama : Tuntutlah Ilmu kerana ia adalah penyuluh kepada iman dan taqwa. 
 
Kedua : Guru hendaklah sabar dan ikhlas dalam mendepani cabaran dan karenah masa kini. 

Ketiga : Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai qudwah terbaik dan sebagai pendidik yang patut dicontohi. 
 
Keempat : Semua pihak samada pihak kerajaan, sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat seluruhnya hendaklah bekerjasama untuk melahirkan umat yang seimbang jasmani dan rohani. 
 
Kelima : Hubungan antara ibubapa, guru dan murid mestilah dibina atas rasa hormat dan kasih sayang untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT. 



Petikan Khutbah 16 Mei 2014 JAIS

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...