PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

KESAN RAMADHAN SEPANJANG TAHUN

Setiap perbuatan yang kita lakukan sudah ditentukan oleh Allah dan ada kesannya, sama ada baik atau buruk. Jika kita menanam sesuatu tanaman kesannya ialah hasil yang kita tuai, yang kita makan dan yang kita jual untuk menyara kehidupan. Jika kita bekerja sebagai doktor, sebagai jurutera, sebagai guru atau sebagai arkitek, maka kita diberi ganjaran hasil dari tugas yang kita lakukan. Semua hasil pendapatan yang kita perolehi itu adalah atas dasar kerja kita yang berkesan, jika kita bekerja dengan rajin tetapi tidak berkesan sama sekali, maka majikan tidak akan membayar upah atau gaji.

Begitulah pentingnya kesan sesuatu perbuatan yang Allah SWT. jadikan dalam menjana setiap kehidupan. Tumbuh-tumbuhan hanya akan subur hasil dari kesan siraman air, kita akan merasa kenyang hasil dari makanan yang kita makan, kita akan merasa sihat dan sembuh daripada penyakit hasil dari kesan ubat yang kita ambil. Itulah rahmat dan nikmat yang diberi oleh Allah SWT. yang tidak terhingga kepada kita. Tetapi semua kesan tersebut adalah kesan zahir yang dapat dirasa dan dapat dilihat dengan nyata. Walau bagaimanapun, manusia terdiri dari dua unsur penting, zahir dan batin, atau jasmani dan rohani.

Allah SWT. yang maha pemurah telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan himpunan amal ibadah untuk umat Islam, ganjaran pahala amalan di bulan Ramadhan dilipat gandakan, dosa diampunkan, rahmat diturunkan, penghuni neraka dibebaskan. Semua itu adalah kesan dan hasil dari penghayatan puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT. Hadis daripada Salman al-Farisi bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :

Bulan Ramadhan di awalnya rahmat, di pertengahannya keampunan dan di akhirnya pembebasan daripada api neraka”.  (Riwayat al-Baihaqi).

Ramadhan telah berlalu, dipenuhi dengan berbagai-bagai amalan, selain puasa yang telah diwajibkan, maka amal ibadah yang lain turut dilakukan seperti solat terawih, bersahur, bertadarus al-Quran, membayar zakat, bersedekah, bangun bertahajjud, berzikir, menjamu orang berbuka puasa, menghadiri majlis ilmu, berjemaah di masjid, menghubungkan silaturrahim, bersalam-salaman, membuat kebajikan dengan membantu dan menolong orang, berbuat baik dengan isteri, anak-anak, jiran tetangga dan berbagai-bagai lagi adalah merupakan amalan yang digandakan pahalanya oleh Allah lebih dari bulan-bulan biasa yang lain. Maka setiap amalan yang dilakukan itu mempunyai kesan dan kelebihan hasil bagi sesiapa yang mengamalkannya.

Abu Hurairah RA. meriwayatkan bahawa pada suatu hari, Rasulullah SAW. bertanya kepada para sahabat yang maksudnya :

Sesiapa di kalangan kamu berpuasa pada pagi ini? Abu Bakar menjawab; saya. Nabi SAW. bertanya lagi; Siapa yang memberi makan orang miskin pada hari ini? Jawab Abu Bakar; saya. Nabi bertanya lagi; Siapa yang mengiringi jenaazah pada hari ini? Abu Bakar menjawab; saya. Nabi bertanya lagi; Siapa yang melawat orang sakit pada hari ini? Abu Bakar menjawab; saya. Maka sabda Nabi SAW; Tidak berhimpun perkara itu kesemuanya kepada seseorang lelaki kecuali dia termasuk kalangan ahli syurga”.  (Riwayat Muslim).

Hadis tersebut membuktikan betapa tinggi nilai dan kesan bagi sesiapa yang menghimpun amalan kebaikan sedang dia berpuasa. Amalan puasa yang diwajibkan mahupun disunatkan akan menghasilkan kesan kesabaran yang tinggi kepada seseorang. Sebuah hadis yang diceritakan oleh seorang lelaki daripada Bani Sulaim bahawa Nabi SAW. bersabda:

Puasa itu sebahagian daripada kesabaran”. (Riwayat Ibnu Abi Hatim).

Sesungguhnya puasa itu banyak melatih jiwa seseorang menjadi tunduk patuh kepada Allah SWT, ia mampu menyempurnakan hubungan iman yang kukuh dan kental kepada Allah SWT., samada masa susah, mahupun waktu senang. Pada masa sihat mahupun waktu sakit.

Bagi mereka yang sanggup bangun malam untuk melaksanakan ibadat malam akan menghasilkan kesan kepimpinan dan kebertanggungjawaban yang tinggi di sisi Allah. Itulah latihan yang diwajibkan kepada Rasulullah SAW. untuk diangkat menjadi utusan Allah yang mesti dilalui oleh setiap pemimpin dalam Islam. Firman Allah SWT. Dalam surah al-Muzammil ayat 6
 
Sebenarnya sembahyang dan Ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya”.

Ibnu Hajar menyenaraikan kesan puasa bahawa seseorang itu akan menuruti sunnah Rasulullah SAW, akan membezakan penampilan diri dengan ahli Kitab, dapat meningkatkan keikhlasan seseorang dalam beribadat. Puasa dan sahur akan dapat menghilangkan perasaan marah terutama bagi mereka yang panas baran. Maka alangkah baiknya orang yang panas baran telah bangun sahur sepanjang Ramadhan yang lalu, kerana sesungguhnya bangun bersahur sebagai terapi yang sangat berkesan kepada orang yang mempunyai sifat panas baran.

Aktiviti sahur dan berbuka beramai-ramai di masjid atau surau adalah suatu kesempatan umat Islam bagi mengeratkan hubungan silaturrahim yang berpanjangan, mendirikan solat sunat terawih secara berjemaah, sama-sama bergotong royong membersihkan surau atau masjid, menginfakkan harta dan bersedekah membayar zakat. Justeru, setiap aktiviti yang baik itu sangat mendatangkan kesan yang mendalam kepada setiap jiwa dalam masyarakat. 

Kesan ini akan terus bercambah membina asas kebertanggungjawaban dan keprihatinan setiap individu yang beramal hingga sepanjang tahun.

Firman Allah SWT. Dalam surah al-Ma’idah ayat 2:

…dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”.

Hadis daripada Huzaifah bin al-Yaman bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda:

Fitnah seseorang lelaki pada ahli keluarganya, hartanya, jiwanya dan jirannya dikaffarah dengan puasa, sedekah dan amal makruf nahi mungkar

Imam al-Munawi ketika mensyarahkan hadis tersebut menjelaskan melalui kitab Faidh al-Qadir bahawa 

fitnah lelaki kepada ahlinya ialah kesesatan, maksiat atau perbuatan jahatnya yang membabitkan ahli keluarganya sehingga lupa menjalankan kewajipannya dan cuai member didikan kepada ahli keluarganya akan segala perkataan yang baik. Fitnah lelaki kepada hartanya ialah yang diusahakannya secara haram dan dibelanjakan kepada perkara yang haram atau terlalu disibukkan oleh hartanya sehingga lalai melakukan kebajikan. Fitnah seseorang kepada dirinya ialah cenderung kepada nafsu syahwat dan seumpamanya. Fitnah seseorang kepada anaknya ialah gembira keterlaluan sehingga melupakan perintah Syara’. Dan fitnah seseorang kepada jirannya pula ialah rasa iri hati, berasa megah, berebut-rebut dan mengejar keperluan serta mungkir janji. Maka dengan semua fitnah tersebut itu akan dapat dikifarahkan hasil dari kesan amal puasa, sedekah dan amal makruf nahi mungkar yang dilakukan semasa berpuasa”.

Justeru berbahagialah sesiapa yang dapat melakukan segala perkara iaitu berpuasa, bersedekahdan melakukan amal makruf pada bulan Ramadhan yang lalu itu.

Sebenarnya puasa banyak menghasilkan kesan kepada seseorang itu untuk melakukan ketaatan, dan terkesan dengan mencari seberapa banyak pahala. Sultan al-Ulama Izzuddin bin Abd Salam berkata,

 “adapun sebab seseorang itu memperbanyakkan ketaatan, kerana dengan berpuasa ingatan seseorang akan tergambar bagaimana rasa peritnya lapar kerana tiada makanan, dan merasa bagaiman pedihnya seksa ahli neraka kerana dosa maksiat dan keingkaran mereka kepada Allah. Maka kesannya akan mendorong seseorang memperbanyakkan ketaatan kepada Allah untuk menyelamatkan diri daripada azab api neraka

Justeru itu, mereka menjadi orang yang suka member sedekah dan erbuat baik kepada orang yang memerlukan. 

Mengakhiri ini, sebagai umat Islam yang baharu sahaja menunaikan ibadat puasa, marilah kita menghayati segala kelebihan amal baik yang telah kita lakukan sepanjang Ramadhan. 

1. Memelihara ketaqwaan yang telah kita perolehi sepanjang bulan Ramadhan kerana berjaya menghindarkan diri kita dari perbuatan maksiat dan dosa, akan sentiasa mendapat keampunan Allah, diberi rahmat oleh Allah dan menjadi hamba yang sentiasa taat kepada Allah.

2. Meneruskan amalan berpuasa sunat, bangun malam dan bersedekah kerana ianya akan menjadikan kita pemimpin yang baik dan bertimbang rasa terutama kepada mereka yang susah dan miskin.

3. Hendaklah meneruskan sikap tolong menolong, membantu golongan yang susah dan menghubungkan silaturrahim dikalangan umat Islam.



Sumber : Teks Khutbah JAIS 8 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...