PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

MENGINFAKKAN HARTA BAGI MEMBANGUNKAN UMMAH

Dewasa kini, terdapat ramai golongan gelandangan dan miskin harta yang masih wujud di muka bumi Allah ini. Hal ini dapat kita lihat kerana kurangnya rasa keinsafan dan kesedaran di dalam diri manusia untuk membelanjakan sedikit hartanya ke jalan Allah. Manusia seakan-seakan tidak mengerti bahawa sekiranya sedikit kita memberi kepada orang yang memerlukan, maka Allah akan melipat gandakan harta yang di berikan itu. 

Hal ini dapat dibuktikan dengan firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah ayat 261:

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya"

Sedekah ialah suatu pemberian kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah. Oleh yang demikian, apabila ia merujuk kepada keimanan dan keyakinan janji Allah, ia adalah sesuatu yang sangat pasti perlu kepada pembuktian iaitu menginfakkan harta ke jalan Allah sama ada infak yang wajib ataupun sunat termasuklah zakat, wakaf, hibah dan hadiah yang diberikan kepada fakir miskin, kaum keluarga, atau fi sabilillah. 

Terdapat banyak fadhilat apabila menginfakkan harta ke jalan Allah, antaranya ialah sebagai pemberi syafaat bagi pelakunya dan terhindar daripada azab kubur. Demikian pula di hari kiamat ia akan mendapat naungan di sebabkan pahala sedekahnya padahal ketika itu manusia berpanasan di dalam kubur.

Sedekah juga dapat menolak kemurkaan di sebabkan sifat pemurah yang ada pada diri kita. Inilah seperti yang dikehendaki dalam Islam yang mana orang yang kaya lebih berharta membantu golongan yang miskin dan bukan bermegah-megah dengan harta yang dimiliki. Dengan kenyataan yang juga berbentuk satu motivasi bagi umatnya.

Firman Allah SWT. Dalam surah al-Baqarah ayat 271 :

“...dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan

Amalan bersedekah ini merupakan salah satu amalan yang dituntut untuk dihayati dalam kehidupan seharian, sebagaimana yang sering dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW. yang mana baginda amat terkenal sebagai seorang yang pemurah dan dermawan. Sesiapa sahaja yang datang meminta pertolongan kepadanya pasti akan dibantu oleh Baginda SAW. Baginda juga menjunjung tinggi golongan pemurah dan dermawan yang membelanjakan hartanya kearah kebaikan. Inilah amalan mulia yang patut dicontohi dan dihayati oleh setiap umat islam pada hari ini.

Hakikatnya, bersedekah ini bukan sahaja dapat membantu golongan fakir miskin sahaja, bahkan ia juga dapat membantu diri kita sendiri dalam mencapai matlamat taqwa. Ini kerana amalan bersedekah akan dapat mengikis diri kita dari sifat-sifat mazmumah seperti sifat bakhil, riak dan bongkak. Pada hakikatnya, sedekah ini tidak mengurangi harta yang kita miliki sedikitpun, bahkan Allah SWT akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang telah kita berikan.

Firman Allah SWT. di dalam surah Ali Imran ayat 180:

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang kikir dengan apa yang diberikan Allah kepada mereka dari kurnia-Nya, mengira bahawa (kikir) itu baik bagi mereka, padahal (kikir) itu buruk bagi mereka. Apa (harta) yang mereka kikirkan itu akan dikalungkan (dileher) pada hari kiamat. Milik Allah lah apa yang ada di langit dan di bumi. Allah Maha teliti terhadap apa yang kamu kerjakan

Melalui amalan bersedekah, ia dapat membentuk seorang insan yang berjiwa pengasih dan penyayang serta mendidik kita menjadi insan yang sentiasa peka akan hal dan masalah-masalah yang berlaku di kalangan masyarakat yang ada di sekeliling kita. Dalam masa yang sama, amalan infaq, sedekah dan bentuk-bentuk pemberian yang lain ini juga akan dapat menghindarkan diri kita daripada penyakit “al-wahan” iaitu sifat cintakan dunia dan bencikan mati.

Untuk makluman hadirin sekalian, bagi menyuburkan amalan bersedekah kepada masyarakat, Negeri Selangor telahpun mewujudkan Tabung Amanah Pembangunan Islam Selangor atau ringkasannya TAPIS. Kita semua boleh menyumbang kepada tabung ini dengan kadar minimum RM1.00 setiap bulan. Sumbangan boleh diberikan kepada wakil pemungut yang telah dilantik iaitu dikalangan amil-amil zakat atau datang sendiri ke Pejabat Agama Islam yang berhampiran atau terus ke Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS di Shah Alam yang menjadi sekretariat menguruskan tabung ini.

Seterusnya, hasil dari sumbangan yang diterima, kutipan tabung ini akan digunakan untuk membantu pelaksanaan program-program pembangunan umat Islam di Negeri ini. Oleh itu, berdasarkan latarbelakang pewujudan tabung dan penggunaannya untuk pembangunan umat , adalah menjadi kemestian kepada para jemaah sekalian untuk mendokong usaha-usaha murni ini dalam menginfakkan harta bagi membangunkan ummah.

Setakat ini, pihak pengurusan TAPIS telah mengagihkan hasil kutipan tabung ini bagi tujuan kelengkapan perpustakaan surau, sekolah dan pejabat, bantuan kewangan pembelian buku-buku Islam, surau, sekolah dan pejabat, bantuan kewangan aktiviti kefahaman Islam, bayaran pengimarahan masjid dan surau, bantuan kewangan dakwah, memperbaiki surau dan bantuan kewangan bagi menjaga keimanan kepada Allah menepati Maqasid Syariah.

Secara kesimpulannya, infaq dan bersedekah ini mempunyai banyak rahsia dan keistimewaannya yang tersendiri. Apabila manusia dapat menghayati dan mengetahui keistimewaan tersebut, nescaya mereka akan dimurahkan rezekinya oleh Allah dan terhindar daripada bala bencana. Oleh itu, marilah kita mengamalkan amalan sunat yang sangat dituntut oleh Islam ini supaya dapat menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya. 

Wahai orang-orang yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia secara riak, dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir”.  (al-Baqarah : 264).




Sumber : Khutbah Jumaat JAIS 26 Sep 2014



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...