Akidah merupakan suatu pegangan dan keyakinan yang tiada syak atau ragu-ragu, manakala akidah Islam adalah mempercayai semua perkara yang disampaikan oleh Rasulullah SAW melalui al-Quran dan an-Sunnah. Akidah menjadi asas kepada penerimaan atau penolakan amalan manusia di sisi Allah SWT.
Firman Allah dalam surah Al-Furqan ayat 23 ;
"Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan".
Dalam kehidupan kita, akidah Islam merupakan perkara utama yang perlu diterapkan ke dalam jiwa kerana ia menjadi asas kepada lahirnya akhlak yang baik dalam diri seseorang insan. Penerapan akidah Islam seharusnya dilakukan sejak bermulanya seseorang manusia itu dilahirkan ke dunia ini. Oleh kerana itulah Rasulullah SAW menganjurkan agar setiap bayi yang baru dilahirkan supaya diazan dan diiqamat ke telinganya, kerana kalimah dalam azan dan iqamat itu mengandungi kalimah tauhid.
Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Jadikanlah kalimah La ilaha Illa Allah sebagai kalimah pertama yang didengari oleh anak-anakmu ” (Riwayat al-Baihaqi).
Akidah Islam yang mantap akan dapat mendorong kita untuk patuh dan taat kepada setiap perintah Allah SWT. Semua perintah Allah SWT dan larangan-Nya dapat dipatuhi dan dilaksanakan dengan sempurna apabila akidah yang jitu telah dapat ditanamkan ke dalam jiwa kita. Kepatuhan terhadap perintah-perintah Allah SWT ini adalah kerana dengan adanya keyakinan terhadap dosa dan pahala, sehingga kita sentiasa berhati-hati dari terjerumus ke dalam perkara-perkara yang dikeji. Justeru dengan adanya keyakinan ini juga, kita dapat menentukan secara jelas halatuju kehidupan ini sama ada untuk kebaikan di dunia mahupun di akhirat.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Kahfi ayat 103:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah kami khabarkan kepada kamu semua akan orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya”.
Seterusnya, dengan akidah yang mantap akan dapat melahirkan insan yang tabah dalam menghadapi pelbagai bentuk ujian dan cabaran dalam kehidupan. Melihat kepada fenomena yang berlaku sejak akhir-akhir ini, kita dapati secara jelas bahawa Allah SWT telah menurunkan pelbagai bentuk musibah seperti ribut kencang, banjir besar, tsunami, puting beliung dan lain-lain untuk menguji sejauh mana keteguhan iman kita kepada Allah SWT.
Oleh itu, apabila kita memiliki keyakinan terhadap keesaan dan kekuasaan Allah SWT, akan menjadikan diri kita cekal dan sabar menghadapi dugaan, serta yakin bahawa Allah SWT sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut ayat 2:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)”.
Sifat sabar tidak akan dapat dicapai melainkan sekiranya jiwa kita telah diisi dengan akidah dan keyakinan yang teguh terhadap keesaan Allah SWT.
Oleh kerana itulah dalam tempoh 13 tahun yang awal, ketika Rasulullah SAW berdakwah di kota Mekah, baginda telah berusaha bersungguh-sungguh mengukuhkan akidah umat Islam di sana. Usaha yang telah dijalankan oleh baginda ini akhirnya telah dapat melahirkan para sahabat yang berjiwa kental, yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi Islam, antaranya adalah Bilal bin Rabah, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah dan lain-lain lagi.
Perkara yang tidak kurang pentingnya juga, akidah yang mantap dapat menjadi benteng pertahanan daripada pelbagai bentuk jenayah yang merosakkan kehidupan umat Islam. Apa yang nyata pada hari ini, laporan mengenai jenayah bunuh, rogol, rompak dan seumpamanya dapat kita saksikan hampir setiap hari di kaca televisyen, akhbar dan media-media lainnya. Mengapakah perlakuan jenayah ini berlaku? Sudah tentu sekali kerana jiwa mereka tidak dimantapkan dengan akidah dan keyakinan terhadap balasan dosa atas apa yang telah mereka kerjakan di dunia ini.
Firman Allah SWT dalam surah As-Sajdah ayat 12:
“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu); wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
Akidah yang mantap dapat menghalang berlakunya penyelewengan terhadap ajaran Islam. Lemahnya akidah juga telah menjadi punca kepada berlakunya penyelewengan terhadap ajaran Islam yang sebenar. Kegagalan sebahagian umat Islam dalam memahami tuntutan tauhid kepada Allah SWT telah membuka ruang kepada dakyah yang disebarkan oleh musuh-musuh Islam untuk mempengaruhi pemikiran mereka. Mereka menjadi keliru antara ajaran Islam sebenar dengan dakyah yang disangkakan sama dengan ajaran Islam yang mereka anuti. Akhirnya mereka tersesat dalam amalan-amalan mereka. Maka tidak hairanlah apabila kita dapati pada hari ini banyak kumpulan yang difatwakan sesat oleh Jabatan-jabatan Mufti kerana wujudnya penyelewengan dalam amalan yang mereka lakukan. Di Selangor sahaja, didapati tidak kurang daripada 30 ajaran dan amalan yang difatwakan menyeleweng dan sesat, antaranya Mazhab Syiah, Ajaran Anti Hadis, Aliran Fahaman Liberal dan Plural dan lain-lain lagi.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 39 ;
“Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata (fatamorgana) yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu dia menuju ke arahnya) sehingga apabila dia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan dia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah amat segera hitungan hisab-Nya”.
Oleh kerana itu, sebagai umat Islam yang percaya akan kewujudan dan keagungan Allah SWT, marilah kita sama-sama berusaha mempertingkatkan kekuatan akidah kita, akidah keluarga kita dan akidah masyarakat Islam kita, kerana dengan cara sebeginilah kita akan dapat menyelamatkan kehidupan kita di dunia dan juga di akhirat kelak.
Menelusuri perkara ini, maka beberapa pengajaran hendaklah diambil perhatian;
1. Umat Islam hendaklah berusaha memupuk dan memantapkan akidah Islamiah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.
2. Umat Islam hendaklah berusaha mempelajari akidah Islamiah untuk mengelak diri daripada terlibat dengan penyelewengan dan kesesatan.
3. Umat Islam hendaklah sentiasa memelihara akidah dengan memantapkan amalan dan memperbaiki akhlak.
4. Umat Islam hendaklah sentiasa mengambilkira dosa dan pahala, syurga dan neraka dalam menjalankan kehidupan seharian.
“Bahkan barang siapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhan-Nya dan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati”. (al-Baqarah- 112).
No comments:
Post a Comment