PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

PENGEMBARAAN YANG MENAKJUBKAN

Sempena bulan Rejab yang mulia ini, marilah kita mengimani dan mengingati satu peristiwa besar dan bersejarah iaitu Israk dan Mikraj. Allah SWT telah melakukan suatu perjalanan mulia kepada hamba-Nya Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Baitul Maqdis di Palestin, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha diiringi Malaikat Jibril AS. Seterusnya naik lagi ke suatu tempat bernama Mustawa seorang diri tanpa diiringi sesiapa untuk menerima satu perintah yang penting iaitu Ibadah Solat. Peristiwa berlaku 11 tahun selepas diangkat menjadi Rasul bersamaan 622 Miladi. Ia dirakamkan dalam surah al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud;

Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Peristiwa Israk dan Mikraj yang menakjubkan masyarakat Quraisy ketika itu ialah perjalanan sejauh dari Makkah ke Baitul Maqdis itu lazimnya dilakukan selama dua bulan iaitu sebulan pergi dan sebulan balik. Tetapi apa yang berlaku, perjalanan yang dianggap jauh itu berlaku pada satu malam dan menjelang waktu subuh sudah sampai semula ke Makkah. 

Peristiwa agong ini menyimpan rahsia besar yang dapat diambil iktibar dan keinsafan untuk meningkatkan iman. Pengembaraan Israk dan Mikraj yang diberkati itu memberikan beberapa pengajaran yang menggambarkan balasan dosa-dosa yang dilakukan oleh umat Muhammad semasa hidup didunia. Segala maksiat tersebut akan dibalas dengan balasan yang amat setimpal kecuali bagi yang sempat bertaubat dengan taubat nasuha.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabrani dan al-Bazzar, Nabi Muhammad SAW telah melalui penempatan beberapa kaum yang hidupnya dalam maksiat. Antaranya mereka yang malas mendirikan solat, tidak membayar zakat harta yang cukup nisab dan haul, makan wang riba, mengumpat, menyebar fitnah, berzina, bersikap sombong, mengkhianati janji dan lain-lain. Demikian juga ditunjukkan ganjaran Allah yang besar bagi yang berjihad ke jalan Allah, bersedekah dan melakukan amal soleh.

Nabi SAW juga dibawa melihat ke suatu lembah yang nyaman dan dingin, anginnya membawa bauan wangi harum semerbak bagai kasturi, serta kedengaran suara yang riang gembira. Apabila Rasulullah SAW bertanya, Jibril lantas menjawab itulah suara syurga yang merayu memohon agar Allah membalas apa-apa yang dijanjikan, walaupun mereka sedang menikmati berbagai nikmat syurga, namun tetap memohon lagi nikmat yang lebih besar sebagai ganjaran kepada yang beriman dan beramal soleh. 

Selepas itu Jibril AS membawa Nabi ke lembah lain, kedengaran suara bising dan udaranya berbau busuk. Jibril AS menyatakan itu adalah suara neraka Jahannam yang menyeru agar ditambah lagi azab yang dijanjikan walaupun telah bertimbun padanya rantai, belenggu, api menjulang, air panas mendidih, pohon berduri, tetapi mereka masih memohon lagi azab dan seksa kepada yang mensyirikkan Allah dan melakukan maksiat.

Allah SWT menjelaskan keadaan neraka, sebagaimana firman-Nya dalam surah at-Takathur ayat 6-8;

(ingatlah) Demi sesungguhnya! - kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu - Demi sesungguhnya! - kamu (Wahai orangorang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!”.

Menurut riwayat Anas Bin Malik, setelah Rasulullah SAW tiba di Baitul Maqdis dengan menaiki Buraq, iaitu seekor binatang berwarna putih, besar sedikit daripada keldai dan kecil daripada baghal, baginda masuk ke dalam Masjid al-Aqsa dan salat dua rakaat. Menurut Ibnu Mas’ud RA, Jibril AS memimpin baginda ke hadapan untuk menjadi imam solat bersama Para Rasul, Ini merupakan petunjuk bahawa Nabi Muhammad SAW datang membawa syariat dan secara tidak langsung menamatkan syariat terdahulu.

Sebelum Mikraj Nabi Muhammad SAW dipertemukan dengan Nabi Adam AS yang diperkenalkan oleh Jibril AS sebagai bapa kepada seluruh umat manusia, juga memberi pengajaran kepada kita,apabila bermusafir jauh atau membuat sesuatu tugas besar, perlulah lebih dahulu menemui ibubapa atau ahli keluarga yang tua untuk memohon doa restu daripada mereka agar dapat melaksanakan tugas dengan baik dan selamat.

Menurut nukilan daripada Tafsir al-Maraghiy, sesungguhnya pada peristiwa ini terdapat suatu pengertian yang patut difikir dan diperhatikan secara mendalam, yang menunjukkan bahawa semua Para Rasul walaupun berlainan keturunan dan zaman, mereka bersatu padu disisi Allah SWT yang telah mengutus mereka. Maka bukankah sepatutnya para pengikut mereka juga bersatu, mengikut jejak langkah Rasul mereka, agar urusan yang berlangsung dikalangan mereka dapat diatasi kearah perdamaian bukan perpecahan.

Peristiwa selanjutnya datang pula malaikat Jibril AS membawa dua jenis minuman, arak dan susu. Maka Nabi SW memilih susu. Jibril AS menyatakan bahawa Nabi telah memilih fitrahnya. Susu melambangkan kesucian. Menurut Imam al-Nawawi, maksud fitrah ialah Islam. Ada pun arak adalah pokok segala kejahatan yang keji dan pekerjaan syaitan. Allah melaknat peminum arak, penjual, pemberi, pembawa, samada minum dalam botol kecil atau besar, tin kecil atau tin besar, semuanya adalah najis yang menjijikkan disisi Allah SWT, bahkan pintu neraka terbuka menunggu mereka di akhirat.

Kemuncak daripada peristiwa Israk dan Mikraj, Allah SWT memfardhukan ibadat solat 50 waktu sehari semalam. Tetapi dalam perjalanan pulang baginda bertemu lagi dengan Nabi Musa AS yang mengusulkan agar baginda mohon keringanan Allah SWT kerana perintah itu berat bagi umat Muhammad. Setelah rayuan dibuat akhirnya Allah memperkenankan hanya 5 waktu sahaja, tetapi ganjarannya sama dengan 50 waktu.

Dalam pelaksanaan solat, badan, fikiran dan perhatian serta lafaz yang telah ditentukan ditujukan khusus kepada Allah SWT semata-mata. Kerana solat adalah ibadat utama yang diibaratkan seperti tiang dalam sesebuah bangunan. Hadis daripada Umar Bin al-khattab R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya bermakna ia mendirikan agama, sebaliknya mereka yang meninggalkannya seolah-olah meruntuhkan agama”. (Riwayat al-Baihaqi).

Solat merupakan perhubungan kita dengan Allah SWT. Dengan sebab itu sewajarnya solat dilakukan dengan sempurna, tersisih daripada kebendaan, tersisih dari alam nafsu syahwat dan dari alam fitnah agar orang yang solat itu mampu sepenuhnya kepada zat Allah SWT semata-mata.

Anggota tubuh yang paling tinggi dan berharga secara simboliknya ialah kepala. Dengan sebab itu ramai orang yang berani mempertaruhkan nyawa, merasa begitu sukar jika kepalanya dipermainkan orang. Tetapi lain halnya ketika dihadapan Allah. Dengan penuh kesedaran, kepala rela direndahkan di tempat paling bawah sejajar dengan tempat berpijak, merendahkan diri dihadapan Allah yang maha agong dan maha tinggi atas segala sesuatu.

Selepas peristiwa Israk dan Mikraj berlaku, Rasulullah SAW bertambah gigih menjalankan dakwahnya, walaupun menghadapi berbagai rintangan dan cabaran dari musuh sekelilingnya, namun baginda tetap tabah ibarat membujur lalu melintang patah untuk berdakwah diseluruh semenanjung tanah Arab. Ini memberi iktibar kepada kita dalam melaksanakan kerja kebajikan mestilah dengan semangat juang yang tinggi penuh dedikasi dan tanggungjawab, sedia menghadapi apa jua cabaran. Insyaallah, hasilnya akan mendapat kejayaan cemerlang disisi Allah SWT.

Mengakhiri khutbah ini, marilah kita renung dan hayati beberapa saranan berikut;

1. Umat Islam hendaklah beriman dan meyakini tentang wujudnya kejadian Israk dan Mikraj yang telah disebut dalam al-Quran dan hadis.

2. Umat Islam hendaklah memperingati kisah Israk dan Mikraj ini, bukan sekadar membaca kisahnya sebagai sejarah, tetapi mengkaji dan mengambil iktibar dan pengajaran setiap yang berlaku daripada peristiwa tersebut.

3. Umat Islam hendaklah memastikan diri dan keluarga tidak mengabaikan solat lima waktu, walau di mana sahaja kita berada untuk menjamin kejayaan di dunia dan akhirat.

4. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa setiap pelanggaran perintah Allah akan menerima pembalasannya seperti yang digambarkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

5. Umat Islam diingatkan supaya melaksanakan kebajikan dan amal soleh untuk mendapat ganjaran Allah di akhirat kelak seperti yang digambarkan juga dalam peristiwa tersebut.

Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi “Sidratul-Muntaha”, yang di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”.  (al-Najm ; 13-15).




Sumber : Khutbah Jumaat JAIS 14 April 2017


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...