PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

PENGAJARAN RAMADHAN


Ibadah puasa yang telah kita laksanakan seharusnya dapat memberikan keinsafan kepada kita akan keperitan dan penderitaan yang ditanggung oleh umat islam lain yang hidup merana disebabkan kemiskinan, kebuluran dan penindasan. Nasib yang menimpa mereka tentunya tidak sama dengan kemudahan yang Allah SWT berikan kepada kita di sini. Apa yang termampu pada mereka hanyalah ibarat 'kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang' semata-mata untuk mendapatkan sesuap makanan. Ada pula sebahagiannya tidak dapat menjamah walau sedikitpun makanan sehingga berhari-hari lamanya.


Sementara itu, kehidupan kita di sini dilimpahi dengan berbagai-bagai kesenangan dan kenikmatan sehingga kadang-kadang kita terlupa akan nasib yang menimpa saudara islam kita yang lain. Adakalanya kita amat teruja berbelanja besar menjamu rakan taulan di dalam majlis-majlis berbuka puasa mahupun hari raya, tetapi kita terlupa untuk mengeluarkan sedikit belanja bagi meringankan bebanan mereka yang ditimpa kemiskinan. Penderitaan mereka ini seharusnya dikongsi bersama oleh kita semua dengan menghulurkan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan samada yang berbentuk hartabenda mahupun tenaga, agar kehidupan yang mereka jalani menjadi lebih bermakna. Hadis daripada Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

"Tidak sempura iman seseorang kepadaku jika ia bermalam dalam keadaan kenyang sementara perut jirannya kosong kelaparan, padahal ia mengetahui hal itu (namun tidak mempedulikannya)".
(Riwayat At-Tabrani)

Bulan ramadhan yang datangnya hanya sekali dalam tempoh setahun ini seharusnya dapat memberikan lebih banyak pengajaran yang berguna bagi meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt. Ini bersesuaian dengan firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 183 ;

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".

Taqwa adalah merupakan natijah daripada ibadah puasa yang telah kita laksanakan selama tempoh sebulan di dalam bulan ramadhan yang lalu. Sifat taqwa ini tidak akan dapat dicapai melainkan oleh hamba-hambanya yang taat menuruti segala perintah Allah swt termasuklah perintah puasa. Apabila puasa ditunaikan, maka dosa-dosa kita akan diampunkan dan jiwa kita akan menjadi bersih lantas dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt.

Apa yang dapat kita lihat pada setiap kali kehadiran bulan Ramadhan, terdapat orang yang berpuasa tetapi masih tidak bertaqwa. Mereka berpuasa tetapi kemudiannya melakukan maksiat dan kemungkaran kepada Allah swt. Mereka  menahan lapar dan dahaga tetapi dalam masa yang sama mereka juga melakukan perkara-perkara yang ditegah dan dikeji oleh Allah swt. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda;

"Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan berapa ramai orang yang beribadah malam (qiamullail) tetapi tidak mendapat apa-apa kecuali penat."
(Riwayat Ad-Darimi)

Hadis tersebut menggambarkan kepada kita betapa sebahagian umat Islam telah melaksanakan ibadah puasa tanpa memahami dan menghayati akan tujuan, hikmah dan pengajaran di sebalik ibadah puasa itu sendiri.

Justeru, satu pengajaran besar daripada ibadah puasa yang kita laksanakan sepanjang ramadhan yang lalu ialah; ibadah puasa seharusnya dapat mendidik jiwa kita dengan sifat sabar ; iaitu sabar dalam mengekang hawa nafsu yang telah menguasai seluruh anggota tubuh kita termasuklah hati, mata, telinga dan lidah kita.

Ramadhan seharusnya menjadikan kita lebih bersifat sabar dalam mengawal hati kita yang telah dikotori dengan sifat-sifat mazmumah seperti sombong, riak, hasad dengki dan lain-lain lagi. Hati yang telah tercemar dengan sifat-sifat mazmumah ini perlu dibersihkan kembali dengan ibadah puasa. Hati kita juga perlu dididik agar sentiasa merasai pengawasan Allah swt sepanjang melaksanakan ibadah puasa.

Kita juga seharusnya telah dapat mengawal lidah kita dari mengeluarkan kata-kata yang tidak baik dan boleh menimbulkan persengketaan sesama umat Islam. Sekalipun lidah kita diciptakan oleh Allah swt dengan tidak bertulang, namun sesungguhnya ia jauh lebih tajam daripada mata pedang. Perkataan yang dihamburkan melalui lidah ini akan terus menusuk kedalam jiwa orang yang mendengarnya.

Oleh kerana itu, ibadah puasa seharusnya dapat melatih kita agar sentiasa sabar menjaga lidah yang suka mengumpat, menghina, mencaci dan memburuk-burukkan orang  lain.

Ibadah puasa juga seharusnya dapat menghindarkan diri kita daripada dosa-dosa yang disebabkan oleh pandangan mata. Keghairahan mata melihat perkara-perkara haram yang amat berleluasa pada hari ini adalah sesuatu yang sukar untuk dibendung melainkan dengan adanya sifat sabar. Kesabaran ini akan dapat dijana melalui ibadah puasa yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.

Satu lagi pancaindera yang tidak kurang penting sumbangannya kepada penguasaan hawa nafsu ialah telinga. Ini kerana apabila telinga kita mendengar perkara-perkara maksiat dan kemungkaran, maka ia akan mengetuk pintu hati kita dan seterusnya mendorong pancaindera yang lain untuk turut serta melayani kehendak dan tuntutan nafsu.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra' ayat 36 yang bermaksud;
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."

Berpuasa di dalam bulan ramadhan yang lalu semestinya telah memberikan banyak pengajaran yang amat berguna untuk dijadikan sebagai bekalan kehidupan kita pada masa akan datang antaranya ialah ;

PertamaBerpuasa dapat melahirkan rasa belas kasihan terhadap sesama makhluk Allah swt, samada terhadap manusia mahupun terhadap haiwan-haiwan.
KeduaBerpuasa dapat menghubungkan tali silaturrahim sesama umat Islam melalui amalan berbuka puasa dan solat sunat terawih secara berjemaah.
KetigaBerpuasa dapat dapat menghindarkan diri dari sifat bakhil dan kedekut melalui amalan bersedekah dan berzakat di bulan ramadhan.
KeempatBerpuasa dapat dapat melahirkan sifat qanaah iaitu berpada-pada dan tidak boros dalam memenuhi keperluan hidup seharian.
KelimaBerpuasa dapat menambahkan rasa kesyukuran kita di atas nikmat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah swt, kerana dengan berpuasa kita dapat mengelakkan berbagai jenis penyakit yang berpunca dari pemakanan harian kita.


Sesungguhnya ibadah puasa menyumbangkan saham yang amat besar dalam menyelesaikan masalah-masalah sosial yang melanda umat Islam pada masa kini. Melalui puasa, kita akan dapat mengekang nafsu kita yang ingin melakukan kemaksiatan dan kemungkaran kepada Allah swt. Melalui puasa juga, akan dapat mengelakkan diri kita daripada perbuatan-perbuatan yang kotor dan fasik.

Oleh itu, sekalipun ramadhan telah kita tinggalkan, namun marilah kita terus beristiqamah dengan menunaikan ibadah secara tulus ikhlas agar dapat menjamin ketaqwaan kita kepada Allah swt. Mudah-mudahan kita semua akan terus diberikan peluang oleh-Nya untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun yang akan datang, InsyaAllah.

"Orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah bersama orang yang berusaha membaiki amalannya".                           
( Al-Ankabut : 69)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...