Sesungguhnya Al-Quran dan As-Sunnah telah memberikan panduan kepada umat manusia dalam semua aspek kehidupan samada yang berkaitan dengan akidah, ibadah, muamalah mahupun akhlak dan adab sesama manusia. Hanya dengan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah manusia akan selamat di dunia dan di akhirat. Hadis daripada Anas bin Malik r.a.bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
"Aku tinggalkan kepada kamu semua dua perkara yang kamu tidak akan sesat selamanya iaitu kitab Allah dan sunnahku". (Al-Muatta'- Imam Malik)
Ini bererti bahawa segala kerosakan dan gejala sosial yang berlaku pada hari ini adalah kerana manusia meninggalkan panduan yang telah dibawa oleh Rasulullah saw.
Sebagai umat Islam, adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk membanteras kemungkaran-kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita.
Hadis daripada Abu Said Al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
"Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya ia tidak mampu maka hendaklah mengubah dengan lisannya, sekiranya tidak mampu maka hendaklah mencegah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman". ( Riwayat Muslim )
Berdasarkan hadis tersebut jelaslah bahawa tugas dan tanggungjawab mencegah kemungkaran bukan hanya terletak di bahu pemerintah atau penguatkuasa semata-mata, sebaliknya ia menjadi tanggungjawab bersama setiap umat Islam. Kita mesti memainkan peranan dengan sebaik-baiknya dalam usaha membanteras gejala sosial yang semakin bertambah parah dalam masyarakat kita hari ini.
Perkara utama yang harus ditekankan dalam usaha membanteras gejala sosial adalah dengan memberikan teguran dan nasihat yang baik kepada mereka yang terlibat dengan perkara-perkara kemungkaran. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 125 ;
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah".
Sememangnya memberi teguran dan nasihat kepada mereka yang terlibat dengan masalah sosial ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Apatah lagi latar belakang mereka yang kebanyakannya tidak mendapat pendidikan agama secukupnya samada daripada ibubapa ataupun institusi-institusi pendidikan. Maka tidak hairanlah apabila kita dapati ada dikalangan kita hari ini tidak tahu membezakan antara perkara yang hak dan yang batil, makruf dan mungkar. Bagi mereka, apa yang diinginkan hanyalah untuk keseronokan hidup mereka sahaja.
Oleh kerana itu, kita sebagai umat yang mempunyai kesedaran agama ini tidak seharusnya membiarkan mereka terus hanyut dalam kesesatan. Mereka mesti ditegur, dinasihati dan dibimbing daripada terus melakukan kesalahan. Peranan ini perlu dilaksanakan oleh setiap umat Islam agar terlepas daripada laknat Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 25 ;
"Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab-Nya".
Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab membanteras gejala sosial yang berlaku di sekeliling kita adalah merupakan suatu tuntutan agama. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104 ;
"Hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya".
Kita bersyukur kerana di negeri ini telah ada pegawai-pegawai penguatkuasa agama yang bertugas membanteras maksiat dan masalah-masalah sosial yang lain.
Maka kita sebagai umat yang prihatin, seharusnya sama-sama memberikan maklumat dan bantuan sepenuhnya agar usaha membanteras gejala sosial di kalangan masyarakat dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Ini kerana kita tidak boleh memandang dengan sebelah mata sahaja tentang masalah sosial yang berlaku. Malah kita juga tidak boleh hanya sekadar menunjukkan rasa simpati tanpa melakukan apa-apa tindakan yang sewajarnya.
Di persekitaran kita, masih ada ancaman-ancaman akidah seperti ajaran yang mengelirukan dan sesat. Terdapat juga sebahagian orang Islam yang tidak melaksanakan solat Jumaat dan memandang ringan kewajipan solat.
Sebagai sebuah masyarakat muslim, setiap individu berkewajipan mengambil tahu dan membuat aduan sekiranya terdapat perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam kepada pihak berkuasa atau pegawai masjid untuk tindakan lanjut.
Kita bertanggungjawab untuk turut serta menyelesaikan masalah yang berlaku dalam masyarakat. Kegagalan kita menunaikan tanggungjawab ini dibimbangi akan menyebabkan kita hilang kelayakan menjadi umat Rasulullah saw sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w;
"Sesiapa yang tidak mengambil berat akan urusan kaum muslimin maka dia bukanlah termasuk dalam kalangan mereka". ( Riwayat Baihaqi )
Usaha membanteras gejala sosial tidak akan berakhir sekiranya tiada sebarang tindakan lanjutan dilakukan. Oleh itu, satu perkara yang amat penting juga untuk dilaksanakan adalah dengan memberikan pendedahan keagamaan yang secukupnya kepada mereka. Setiap individu dan organisasi dalam masyarakat harus memainkan peranannya masing-masing. Namun ia mestilah dilaksanakan secara bersepadu, ikhlas dan bertanggungjawab.
Bagi setiap individu muslim, mereka perlu menunjukkan tauladan yang baik dalam masyarakat samada dari sudut perbuatan mahupun perkataan. Perbuatan dan tingkahlaku kita mestilah bertepatan dengan syariat Islam. Imej dan akhlak Islam mestilah ditonjolkan sebagai sesuatu yang terbaik agar dapat menyaingi budaya mungkar yang sudah meresap masuk ke dalam jiwa anak-anak remaja kita.
Pada hari ini kita dapati sebahagian ibubapa tidak dapat menunjukkan tauladan yang baik kepada anak-anak mereka. Perkara ini sudah tentulah akan diikuti oleh anak-anak kerana mereka beranggapan tiada salahnya mereka mengikut perbuatan ibubapa mereka. Inilah antara tauladan yang tidak baik dan boleh mencemarkan kesucian agama Islam selain merosakkan masa depan generasi muda hari ini.
Pergaulan bebas dan luar batasan Islam merupakan salah satu punca berlakunya gejala sosial di kalangan generasi muda pada hari ini. Oleh kerana itu, adab-adab pergaulan Islam perlu dipraktikkan samada dalam institusi keluarga, institusi pendidikan, premis pekerjaan, premis awam dan sebagainya sehingga ia menjadi satu budaya di dalam segenap lapisan masyarakat. Amalan ini pastinya akan menyumbang kepada perubahan tingkahlaku daripada yang buruk kepada yang lebih baik.
Adalah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam dan juga organisasi masyarakat seperti jawatankuasa masjid, jawatankuasa kampung atau taman, persatuan belia dan sebagainya supaya bersama-sama melaksanakan konsep amar makruf dan nahi munkar. Ia merupakan perintah daripada Allah SWT dan Rasulullah s.a.w.
"Orang kafir daripada Bani Israil telah dilaknat melalui lidah (doa) Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampaui batas. Mereka antara satu sama lain tidak pernah mencegah tindakan mungkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya amatlah buruk apa Yang mereka telah lakukan".
No comments:
Post a Comment