PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

AMAR MAKRUF DAN NAHI MUNGKAR


Perkara makruf meliputi kepercayaan, percakapan, tindakan, perlakuan dan pemikiran yang memenuhi tuntutan syarak. Apabila kebaikan banyak dilaksanakan maka akan wujudlah kedamaian, ketenteraman, keadilan, kesejahteraan dan keceriaan. Manakala perkara mungkar meliputi semua perkara buruk, keji dan jahat, zahir mahu pun batin, yang apabila dilakukan akan membawa kepada kerosakan, kehancuran dan kemusnahan iman, aqidah, syariat kepada kehidupan manusia di dunia. Pada asasnya setiap insan Muslim wajib mematuhi semua tuntutan syarak dan meninggalkan segala tegahannya untuk hidup dengan selamat di dunia dan di akhirat.


Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 71;

"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta'at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha bijaksana".

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

"Demi diriku di bawah kekuasaan Allah, hendaklah kamu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran atau ditakuti bahawa Allah akan menurunkan ‘azab dan bala'. Kemudian kamu berdoa kepada Allah dan Allah tidak akan menerima (permohonan) kamu lagi " .
(Riwayat at-Tirmizi)

Berdasarkan maksud hadis tersebut amatlah nyata betapa pentingnya seruan amar ma'ruf dan nahi mungkar dilakukan oleh setiap individu Muslim. Tingkat atau tahap individu Muslim yang bertanggungjawab melaksanakan tugas ini adalah sebenarnya terdiri daripada semua peringkat termasuk para pemimpin dan rakyat biasa, bukan hanya kepada golongan para ulama' dan ustaz-ustaz semata-mata.

Sesungguhnya tugas ini amat mulia kerana ia adalah tugas asas yang kerananya Allah SWT telah mengutuskan para rasul. Kesemua rasul telah menjalankan tugas mereka dengan tabah, sabar dan berterusan disepanjang kehidupan walaupun menghadapi pelbagai halangan dan tentangan daripada kaum mereka sendiri.

Inilah sunnah dan realiti yang telah dan bakal dihadapi oleh para penyampai risalah Allah SWT ketika menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., maka tugas ini mestilah diteruskan oleh umat Islam seluruhnya. Sekalipun tugas ini berat, namun ia wajib dilaksanakan. Setiap insan Muslim, tidak boleh lagi berdalih atau memberi pelbagai alasan jika tidak mahu melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Dengan segala upaya dan kemampuan yang ada, kita hendaklah sentiasa mengajak manusia melakukan pelbagai jenis kebaikan. Pada masa yang sama mereka juga diingatkan supaya menjauhi pelbagai kemungkaran yang bercanggah dengan syarak sekalipun ianya disukai oleh nafsu. Tambahan pula pada hari media sering menyalurkan pelbagai unsur kemungkaran. Seruan ini hendaklah dilakukan secara berterusan, istiqamah, ikhlas dan bijaksana. Sekiranya tugasan ini tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh maka Allah SWT akan melakukan tindak balas seperti yang dinyatakan dalam ayat al-Quran dan hadis yang dibacakan tadi.

Allah memperingatkan kepada mereka yang tidak melaksanakan tugas amar makruf dan nahi mungkar dengan melaknat dan menurunkan azab serta tidak memakbulkan doa mereka sepertimana firman-Nya dalam surah Al-Maidah, ayat 78-79;

"Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam kitab-kitab Zabur dan Injil) melaui lidah nabi Daud dan nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan munkar ( derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruk-nya apa yang mereka telah lakukan".

Allah SWT boleh menurunkan bala tersebut secara satu persatu atau serentak seperti banjir, gempa bumi, tsunami, kebuluran dan sebagainya. Kehidupan yang tenang, akan menjadi huru-hara dan sengsara walaupun kita mempunyai kemudahan dan harta benda. Keadaan ini amat menakutkan kerana yang akan menghadapi kesusahan bukan sahaja kita sendiri malahan diikuti pula oleh kaum keluarga, masyarakat dan Negara. Sedangkan setiap masa kita memohon kepada Allah SWT supaya dijauhkan daripada laknat, ‘azab, bala bencana. Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa kita.

Hakikatnya kita memang sentiasa mengharapkan pertolongan serta bantuan dari Allah SWT dalam pelbagai keperluan supaya dikurniakan dengan kehidupan yang damai, tenteram, selesa, penuh keberkatan serta keredhaan-Nya akan dapat kita nikmati.

Arahan Allah SWT kepada Umat Islam supaya melaksanakan tugas ini amat jelas. Malahan ianya menjadi pra syarat untuk memastikan umat Islam mendapat taraf umat terbaik. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT, melalui firman-Nya dalam surah Ali ‘Imran ayat 110;

"Kamu ( wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya) tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka; adalah orang-orang yang fasik".

Ayat tersebut dengan jelas menyatakan untuk menjadi umat terbaik, kita wajib menyeru kepada kebaikan, mencegah daripada kemungkaran dan seterusnya beriman kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan bertanya kepada kita tentang kejayaan yang dicapai ketika menjalankan tugas tersebut. Tetapi yang akan ditanya oleh Allah SWT ialah sudahkah kita bertindak menunaikan tanggungjawab tersebut dengan cara yang ditnyatakan oleh Rasulullah s.a.w.?.

Hakikat ini berdasarkan sebuah hadits yang masyhur dari Abu Said Al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

"Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu hendaklah dia mencegahnya dengan lidah, jika dia tidak mampu hendaklah mencegah dengan hatinya. Namun yang demikian ini adalah selemah-lemahnya".
(Riwayat Muslim)

Bersandarkan kepada hadis tersebut, maka tugas amar makruf dan nahi mungkar sebenarnya adalah wajib. Oleh itu umat Islam khususnya hendaklah memahami bahawa tanggungjawab menjalankan amar ma'ruf dan nahi mungkar ini memang perlu merentasi pelbagai ruang dan bidang. Setiap insan Muslim kena laksanakan amar ma'ruf dan nahi mungkar selagi ada hayat! Tidak ada konsep bersara dalam isu ini. Lakukanlah dengan ikhlas, bijaksana, berhikmah dan mesra. Bagi melaksanakan tugas berat ini setiap individu Muslim kena memiliki sifat kesungguhan, kesabaran, ketabahan dan mengharap keredhaan Allah SWT semata-mata.

Tugas ini kena dilakukan mengikut posisi, fungsi dan tanggungjawab yang disandang. Sebab itu ia mengaitkan soal kuasa, wibawa, bicara dan hati. Untuk menjadi umat Islam yang kuat, kita mestilah memiliki iman yang mantap. Untuk mendidik iman supaya menjadi teguh ia memerlukan persekitaran yang baik, bagi memastikan suasana persekitaran menjadi baik maka anggota masyarakat hendaklah melakukan perkara yang baik. Bagi memastikan sesuatu kebaikan itu berterusan maka perlulah dilaksanakan amar ma'ruf dan nahi mungkar.

Fenomena ini amat penting kerana kita akan berhadapan dengan pelbagai situasi, lokasi, kondisi dan sasaran. Keadaan ini menuntut para penyeru agar mempunyai keyakinan diri, ilmu, skill, keberanian, kepintaran dan lain-lain supaya tugas ini dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kesemua para nabi dan rasul telah menjalankan tugas ini dengan jayanya di zaman masing-masing. Kini tugas amar ma'ruf dan nahi mungkar menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim.

Tugas melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh bagi menjamin kita mendapat rahmat, pertolongan dan ganjaran dari Allah SWT. Walau apapun posisi dan peranannya hendaklah bersesuaian dengan tahap dan kedudukan seseorang. Laksanakanlah amanah ini mengikut kemampuan, keupayaan dan kebolehan yang ada. Marilah kita berganding bahu bersatu tenaga bersungguh-sungguh melaksanakan amar ma'ruf dan nahi mungkar ini ke arah mewujudkan sebuah masyarakat, negeri atau Negara yang baik, aman, makmur, harmoni serta mendapat keampunan dari Allah SWT.

"Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta mereka pula berlumba-lumba pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah daripada orang yang soleh. Apa sahaja kebaikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat daripada mendapat pahalanya). (Ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan keadaan orang yang bertaqwa".
(Ali-Imran:114- 115)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...