Krisis dan kemelut sosial Negara berada pada tahap yang amat membimbangkan. Antara masalah yang dihadapi adalah penyalahgunaan dadah, penagihan, pengedaran dan penyeludupannya mengepalai senarai gejala-gejala negatif tersebut seolah-olah sudah hilang jalan penyelesaiannya. Kita semua sedar bahawa dadah tersenarai sebagai musuh nombor satu negara yang telah mengorbankan banyak jiwa, tenaga dan harta negara.
Walau apapun halangan, kita tidak boleh berputus asa dalam usaha menentang serangan musuh ini. Sebagai umat Islam, kesedaran dan tanggungjawab menentang habis-habisan musuh Negara itu hendaklah sentiasa ada dalam diri kita. Kita hendaklah bermujahadah menentang musuh Islam yang menggunakan dadah sebagai salah satu strategi dan taktik kotor mereka untuk melemahkan umat Islam dan sekaligus memusnahkan Islam.
Dadah ialah apa-apa jua bahan kimia,
sama ada asli atau tiruan, apabila dimasuk dan diresapkan ke dalam tubuh badan
dengan apa cara sekalipun, disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh
mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi jasmani, rohani
dan tingkah laku. Penggunaan dadah yang berterusan akan membawa padah kepada
diri, keluarga, masyarakat, bangsa, Negara dan agama.
Kesan seseorang yang melibatkan diri
dalam penyalahgunaan najis dadah sama ada penagihan, pengedaran atau
penyeludupan akan sanggup melakukan apa sahaja seperti mencuri, menyamun,
membunuh, memperhambakan diri, menggadai maruah dan sanggup dipenjara malah
dibunuh sekalipun.
Sebarang
penyalahgunaan, termasuk penyalahgunaan dadah hukumnya di sisi syarak adalah
haram dan dengan itu adalah ditegah sama sekali menggunakannya. Dadah hanya
boleh digunakan untuk tujuan perubatan yang sah mengikut syarak.
Pengambilan
atau penyalahgunaan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang
diqiaskan kepada arak. Dadah termasuk dalam pengertian umum benda-benda yang
memabukkan dan yang menghilangkan akal. Arak dan dadah menatijahkan kesan yang
sama iaitu memabukkan atau kerana terdapat keburukan-keburukan terhadap
individu dan masyarakat yang mengambilnya. Atas alasan inilah hukumnya haram.
Sabda Rasulullah s.a.w.;
"Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram". (Riwayat Muslim)
Tiga sebab utama pengharaman dadah iaitu;
Pertama: Dadah
bukan sahaja membawa kepada mabuk, tetapi juga membawa kepada hilangnya
akal, dari itu ia adalah haram di sisi Islam.
Kedua : Dadah membawa kebinasaan harta benda kerana ianya membawa pengangguran.
Kedua : Dadah membawa kebinasaan harta benda kerana ianya membawa pengangguran.
Ketiga : Dadah membawa kepada kebinasaan jiwa kerana ianya menyebabkan penagih mati
lebih awal.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 29:
"Wahai orang yang beriman,
janganlah kamu makan (menggunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang
batil (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang
dilakukan secara rela-merelai di antara kamu, dan janganlah kamu
berbunuh-bunuhan sesame sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kamu".
Pengharaman
dadah bukan sahaja kepada sesiapa memakannya, malahan kepada sesiapa yang
memperniagakannya, membuat, mengedar, menyimpan dan sebagainya. Islam sangat realistik dan tujuan
syarak yang lima itu ialah menjaga akal, harta, nyawa, agama dan keturunan.
Justeru itu pengharaman dadah berlaku kerana;
Pertama : Dadah boleh menghancurkan rumahtangga. Sekiranya
individu yang terlibat dengan dadah itu adalah ketua keluarga, nescaya keadaan
akan menjadi lebih parah, nafkah dan didikan keluarga terabai. Ada suami yang
memaksa isteri melacurkan diri malah ada ayah yang memaksa anaknya memberikan
wang kepadanya untuk membeli dadah.
Kedua : Dadah boleh mencetuskan perbuatan
jenayah. Jenayah
sememangnya ada kaitan langsung dengan penyalahgunaan dadah dalam semua
bentuknya, hilang punca kewarasan diri dan akhirnya mendorong kepada mencuri,
merampas, memeras ugut, merompak dan membunuh.
Ketiga : Dadah merosakkan diri sendiri. Penagih
yang sudah sebati dengan ketagihan dadah amat sukar dipulihkan semula.
Mereka hilang daya ketahanan diri, kotor, busuk, jijik dan yang paling bahaya
ialah boleh menjadi hilang ingatan, gila dan akhirnya mati kerana najis dadah.
Keempat : Dadah boleh membawa penyakit. Penagih
mudah terdedah kepada penyakit maut yang sangat ditakuti terutamanya HIV
atau AIDS menerusi perkongsian jarum suntikan dan boleh pula memindahkan
penyakit itu kepada orang lain yang tidak bersalah.
Kelima : Dadah mendorong manusia untuk membunuh
diri. Islam
mengharamkan membunuh diri dengan apa jua cara dan sebab sekalipun.
Pengambilan dadah boleh membawa kepada kematian.
Klinik
C & C telah disediakan oleh kerajaan
yang berkonsepkan PUSPEN Terbuka, di mana mereka yang terlibat dengan gejala
dadah boleh mendapatkan rawatan pemulihan secara percuma dan kemasukan secara
sukarela tanpa melalui proses perundangan atau tangkapan. Pihak keluarga atau
majikan juga boleh merujuk ahli keluarga dan pekerja mereka yang terlibat
dengan dadah untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan di Klinik C & C
1Malaysia. Klinik ini merupakan kaedah di dunia yang dilaksanakan bagi membantu
penagih menghindarkan gejala buruk menagih dadah.
Firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra'd ayat 11;
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada
sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".
Kesedaran terhadap kesan buruk dan
bahaya penyalahgunaan dadah telah sampai ke tahap yang menyeluruh dalam anggota
masyrakat. Namun rasa kebersamaan dalam menunaikan tanggungjawab memerangi
musuh Negara dan agama ini masih belum menjiwai hati dan nurani rakyat Negara
ini. Umat Islam harus tersentak dengan statistik yang membabitkan orang Melayu
Islam yang menjuarai gejala penyalahgunan dadah. Sekadar tersentak sahaja masih
belum cukup, mereka perlu merasa terpanggil dan terus menampilkan diri,
sama-sama berjuang, sama-sama bermujahadah untuk membanteras dadah, demi untuk
menyelamatkan bangsa dan ummah daripada kemusnahan di dunia dan di akhirat.
Firman Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6;
"Wahai orang yang beriman!
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan
bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh
malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada
Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap
melakukan segala yang diperintahkan".
Tugas pembinaan generasi muda yang
berkualiti, bebas daripada sebarang gejala negatif yang menghancurkan, adalah
tanggungjawab kita semua. Kita inginkan generasi yang sihat jasmanai dan
rohani, mampu menghadapi cabaran hari depan, mampu bersaing di peringkat
tempatan dan global.
Kita perlu merasa bimbang dan khuatir
untuk meninggalkan generasi yang lemah, generasi yang tewas kepada serangan
dadah, generasi yang dibelit oleh berbagai masalah dan gejala sosial yang
sangat memuakkan. Kita perlu merasa pilu, silu dan malu, jika kita tinggalkan
generasi dalam keadaan begitu. Marilah menjadi tanggungjawab bersama semua
lapisan masyarakat membanteras bahaya dadah agar jaminan generasi hari ini dan
akan datang selamat daripada najis dadah.
Marilah kita bermuhasabah, menilai
diri dan keluarga supaya kekal istiqamah dengan Islam. Marilah kita pastikan
keluarga dan masyarakat sentiasa mengamalkan Islam serta menghindarkan diri
daripada ancaman dadah.
Tingkatkan kerjasama supaya wujud
sikap tegur-menegur demi kebaikan masyarakat. Dadah boleh melibatkan anak kita,
saudara kita, keluarga kita, cucu kita, jiran dan orang yang kita sayangi.
Janganlah ada sikap mementingkan diri sendiri. Kasihkan anak-anak jiran
tetangga dan berdoa supaya bahana dadah tidak menjadi bala kepada masyarakat.
"Hendaklah takut
(kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang
(yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan
anak-anak yang dhaif itu (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan
merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka, oleh itu
hendaklah mereka bertqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan
yang benar (menepati syarak)"
( An-Nisa': 9)
No comments:
Post a Comment