Solat Qabliyah Subuh ini merupakan salah satu dari solat sunat yang amat dititik beratkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam malah diriwayatkan bahawa baginda tidak pernah meninggalkannya.
Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha dia berkata: "Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam solat Isyak kemudian solat lapan rakaat dan dua rakaat dengan duduk serta dua rakaat di antara dua seruan (yakni azan dan iqamah untuk solat subuh). Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah meninggalkan ke dua rakaat tersebut (yakni solat qabliyah subuh) ."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1159)
Malah diriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetap melaksanakannya walaupun ketika bermusafir.
Daripada Abu Maryam, dia berkata: "Kami pernah bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah perjalanan. Lalu kami melakukan perjalanan pada malam hari. Ketika di ambang waktu Subuh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berhenti lalu tidur dan orang-orang lain pun ikut serta tidur. Dan kami tidak bangun kecuali ketika matahari telah terbit menyinari kami. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh muadzdzin mengumandangkan azan, maka dia pun mengumandangkannya. Selanjutnya, baginda mengerjakan solat dua rakaat sebelum solat Subuh. Setelah itu baginda menyuruh muadzdzin melaungkan iqamah, maka dia pun melakukan iqamah. Setelah itu baru baginda mengerjakan solat secara berjemaah. Kemudian baginda memberitahu kami mengenai apa yang akan terjadi sampai hari kiamat kelak. "
(Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Mawaaqiit, no: 617)
Menurut Ibnul Qayyim rahimahullah:
Di antara petunjuk yang dicontohkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sesebuah perjalanannya, iaitu baginda mencukupkan diri dengan melaksanakan solat yang fardu, dan baginda tidak diketahui melakukan solat sunat Rawatib sebelum dan sesudah solat fardu kecuali solat Witir dan solat sunat Rawatib Subuh kerana baginda tidak pernah meninggalkan kedua solat tersebut baik ketika mukim mahupun saat bermusafir. – (Rujuk Zaad al-Ma’ad, jilid 1, ms. 456 ).
Hanya sahaja tidak ada sebarang riwayat yang menunjukkan solat ini hukumnya wajib. Oleh kerana itu ianya termasuk dalam kategori amalan sunat mu’akkadah.
Keutamaannya
Perlaksanaan solat Rawatib subuh ini lebih baik dari segala perkara yang terdapat di dunia ini. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
"Dua rakaat sebelum Subuh itu lebih baik dari dunia dan isinya."
(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 725.)
Tatacara Perlaksanaannya Serta Hukum-Hukum Berkaitan
Jumlah Rakaat Dan Waktu Mengerjakannya
Solat Qabliyah Subuh sebanyak dua rakaat ini didirikan setelah masuknya waktu solat Subuh iaitu di antara azan dan iqamah.
Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha, dia berkata: "Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan dua rakaat solat dengan ringan di antara azan dan iqamah solat Subuh. "
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no: 619 .
)
Dikerjakan Secara Ringkas
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam meringankan perlaksanaannya iaitu dengan membaca surah-surah yang pendek secara ringkas dan pantas.
"Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha, dia berkata: Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam meringankan dua rakaat sebelum solat Subuh sehingga aku tertanya apakah baginda hanya membaca Ummul Kitab."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1165.
)
Surah Yang Dibacakan
Di antara ayat-ayat yang dibacakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika solat sunat Qabliyah subuh adalah seperti berikut :-
a) Surah al-Kaafiruun dan al-Ikhlas
"Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa membaca di dalam (solat) dua rakaat sebelum Subuh: ‘Qul yaa ayyuhal kaafiruun’ dan ‘Qul huwallahu ahad’"
(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 726. )
b) Al-Baqarah (2) : 136 dan Aali ‘Imraan (3) : 52
"Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa membaca di dalam solat dua rakaat sebelum Subuh, iaitu rakaat pertama membaca: Quuluu aaamannaa billaahi wamaa unzila ilaina… kemudian ayat yang terdapat di dalam surah al-Baqarah (ayat 136), dan pada rakaat kedua membaca: Aaamannaa billaahi wasyad bi annaa muslimuun. (Aali ‘Imraan : 52) "
(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 727.)
c) Al-Baqarah (2) : 136 dan Aali ‘Imraan (3) : 64
"Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa membaca di dalam solat dua rakaat sebelum Subuh: Quuluu aamannaa billaahi wamaa unzila ilaina… surah al-Baqarah (ayat 136), dan yang terdapat di dalam surah Aali ‘Imraan: Ta’aalau ilaa kalimatin sawaa’ bainanaa wa bainakum (Aali ‘Imraan : 64) "
(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 727.)
Memandangkan kesemua hadis di atas adalah hadis yang sahih maka bolehlah kita mengamalkannya secara bergilir-gilir.
No comments:
Post a Comment