Antara ciri-ciri insan bertaqwa ialah setia melaksanakan apa jua suruhan dan perintah dari Allah S.W.T tanpa banyak persoalan walaupun terpaksa menjadikan harta dan jiwanya sebagai gadaian demi mencapai ketaqwaan kepada Allah S.W.T. justeru itu, Allah akan membayar segala gadaian nyawa dan harta mereka dengan keredhaan dan nikmat syurga yang tidak ternilai harganya. Firman Allah Subhanahu Wa Taala, dalam Surah As-Soff, ayat 10 :
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Ibadah zakat merupakan lambang kesempurnaan Islam. Islam bukan sekadar agama yang menitikberatkan perkara ibadah khususiah semata-mata tetapi Islam merupakan peraturan kehidupan yang memelihara keadilan dan kebajikan seluruh manusia. Bukan hanya kepada umat Islam bahkan kasih sayangnya meliputi seluruh makhluk di muka bumi Allah Taala ini.
Antara bukti-bukti keadilan Islam ialah dengan tuntutan berzakat yang bertujuan supaya golongan yang berharta menunaikan tanggungjawab mereka kepada golongan fakir miskin serta asnaf yang berhak menerimanya. Sesungguhnya agihan zakat menyumbang kepada peningkatkan taraf sosial, ekonomi, pendidikan, kerohanian dan jatidiri umat Islam.
Di dalam sejarah kegemilangan Islam, ketika di zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang berpusat di kota Damsyik telah berjaya menzahirkan keindahan Islam dalam meningkatkan amalan berzakat. Sejarah telah mencatatkan kehebatan pengagihan zakat di zaman itu yang telah berjaya menangani kemiskinan sehingga tiada lagi orang miskin di Kota Damsyik dan melangkaui batas sempadan negeri-negeri di Benua Afrika.
Pelbagai strategi dan tindakan perlu dilakukan demi memastikan wang zakat dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para asnaf zakat. Sesungguhnya, gerakkerja pengagihan zakat di Negeri Selangor sentiasa ditingkatkan dari setahun ke setahun. Semenjak tahun 1995 sehingga kini, Lembaga Zakat Selangor, telah mengagihkan zakat kepada 8 golongan asnaf yang berhak melalui pelbagai bentuk bantuan. Usaha tersebut telah berjaya membantu para asnaf untuk meningkatkan taraf hidup mereka ke arah yang lebih baik.
Di sebalik usaha mengagihkan zakat, sebenarnya ia bukanlah kejayaan yang hakiki, kerana cabaran yang paling hebat ialah bagaimana dengan bantuan zakat ini mampu memberi impak yang maksima menangani kemiskinan di negeri ini seterusnya mampu meningkatkan taraf ekonomi golongan asnaf.
Semua pihak perlu berperanan untuk meningkatkan keupayaan ekonomi dan taraf kehidupan umat Islam di negeri ini. Disamping peranan institusi zakat untuk memperkasa taraf hidup ummah, pihak kerajaan, swasta, NGO dan institusi dakwah dan kebajikan wajar seiring dalam usaha murni tersebut.
Selain itu, pemerkasaan jati diri para asnaf zakat perlu dipupuk dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi melahirkan jiwa insan yang teguh dan sentiasa bermotivasi untuk berusaha gigih demi mengangkat taraf kehidupan mereka ke arah yang lebih baik. Sikap berdikari dan proaktif tanpa bergantung harap kepada bantuan zakat semata-mata adalah merupakan tuntutan Islam sepertimana firman Allah S.W.T di dalam surah Ar- Ra'du, ayat 11 :
Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka.
Prof Dr. Yusof Al-Qardhawi berpandangan dalam bukunya bertajuk ‘Bagaimana Cara Islam Menyelesaikan Masalah Kemiskinan' menyatakan;
"Fungsi zakat bukan seperti suntikan penenang yang boleh meringankan derita untuk beberapa saat tetapi sebagai ubat penyembuh yang boleh membasmi penyakit sehingga akar umbi".
Sesungguhnya usaha menangani kemiskinan hingga ke akar umbi bukanlah satu tugas yang mudah. Ia tidak dapat diselesaikan secara individu melainkan dengan usaha dan tenaga secara bersama. Melalui pemusatan wang zakat kepada institusi amil, pelbagai manfaat bantuan dapat disalurkan secara menyeluruh kepada golongan yang berhak.
Bantuan-bantuan seperti modal perniagaan, bantuan pendidikan, dermasiswa pengajian tinggi, peralatan persekolahan, pembangunan institusi masjid, sekolah dan bantuan rawatan perubatan, sara hidup dan lain-lain dapat disalurkan secara menyeluruh dan berterusan.
Jumlah pengagihan yang telah dilaksanakan pada tahun 2012 antaranya adalah peruntukan Fakir miskin berjumlah RM 138 juta Fii Sabilillah RM 140.4 juta Golongan Gharimin RM 33.7 juta, Muallaf RM 23.8 juta, Riqab RM 6.9 juta, Ibnu Sabil RM 1.8 Juta dan juga peruntukan kepada Amil berjumlah RM 56.4 juta telah diagihkan.
Berdasarkan kepada rekod pembayar zakat di Lembaga Zakat Selangor pada tahun 2012, didapati seramai 210,307 orang telah melaksanakan kewajipan menunaikan zakat mereka dengan kutipan sebanyak RM 451.3 juta menunjukkan peningkatan berbanding pada tahun 2011 dengan pembayar zakat seramai 180,617 orang dengan kutipannya sebanyak RM 394.1 juta.
Oleh itu, marilah kita menunaikan ibadah zakat menerusi pelbagai kemudahan bayaran seperti pembayaran zakat di 24 kaunter di seluruh daerah atau melalui internet, potongan gaji, ejen bank, pos dan lain-lain lagi demi menunaikan kefardhuan yang ditetapkan oleh Allah dan membantu meningkatkan taraf ekonomi umat Islam di negara kita.
Ingin mengingatkan perkara-perkara berikut:
1- Pastikanlah harta yang kita miliki seperti pendapatan, wang simpanan, saham, emas, perak, hasil pertanian dan penternakan serta lain-lain telah ditunaikan hak zakat ke atasnya.
2- Hendaklah istiqamah mematuhi segala perintah Allah temasuklah menunaikan ibadah zakat. Tunaikanlah zakat di institusi ‘amil yang diiktiraf iaitu Lembaga Zakat Selangor, sesuai dengan matlamat dan visi kepimpinan negeri untuk menjadi negeri ini sebagai negeri yang sejahtera dan berkebajikan.
3- Berilah sepenuh kepercayaan dan keyakinan dengan menunaikan zakat di institusi amil demi memastikan wang zakat yang kita tunaikan dapat diurus dan disalurkan kepada asnaf yang berhak demi memastikan matlamat dapat dicapai dengan lebih berkesan.
4- Tunaikanlah zakat menerusi pelbagai cara pembayaran zakat di 24 kaunter seluruh negeri Selangor, melalui internet, potongan gaji, egen bank, pos dan lain-lain lagi.
Ingatlah bahawa segala yang ada di dunia ini pasti akan binasa, hanya pahala dan dosa sahaja yang kekal sebagai bekalan kita di akhirat nanti. Oleh itu, marilah kita meraih keredhaan Ilahi dengan memperbanyakkan amal bakti di dunia yang fana ini.
Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaukan dan bertaqwa ( mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya). Serta ia mengaku dengan yakin akan perkara baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikan kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga).
(Al-Lail : 5-7)
No comments:
Post a Comment