Allah memberikan kepada kita nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Antara nikmat yang paling besar yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia ialah nikmat kesihatan.
Menurut Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Dua nikmat paling besar yang tidak diambil peduli oleh kebanyakan manusia iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang”.
(Riwayat Al-Bukhari)
Nikmat kesihatan sering dipandang remeh oleh kebanyakan manusia. Hal yang demikian tentu sekali kerana mereka tidak pernah memanfaatkan nikmat kesihatan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan persediaan menghadapi hari Akhirat. Atas dasar itulah Rasulullah s.a.w mewasiatkan agar menjaga kesihatan dan menggunakan nikmat kesihatan itu dengan sebaik mungkin sebelum datangnya sakit.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu hidupmu sebelum kematianmu, sihatmu sebelum sakitmu, mudamu sebelum tuamu, kayamu sebelum kemiskinanmu, waktu lapangmu sebelum sibukmu”. (Riwayat Al-Hakim)
Sihat adalah nikmat yang paling besar. Apabila sakit, barulah manusia akan terasa betapa besarnya nilai kesihatan. Ketika manusia tidak sedar
nikmat sihat, sudah tentu mereka tidak lagi mengingati Allah dan tidak lagi bertaqwa kepadaNya. Sebaliknya mereka tenggelam dalam kemaksiatan.
Inilah yang dikatakan orang yang telah kufur nikmat pemberian Allah swt iaitu orang yang telah mempergunakan nikmat Allah untuk kembali
menentangNya. Ingatlah, nikmat kesihatan yang dianugerahkan Allah ini hanyalah sementara dan pasti akan dipersoalkan kelak pada hari akhirat
sama ada ia dimanfaatkan atau dipersiakan.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara iaitu tentang umurnya ke mana ia
dihabiskan, tentang tubuh badannya untuk apa ia dimanfaatkan, tentang ilmunya apa yang ia amalkan dari ilmu itu dan tentang hartanya dari mana
hasilnya dan ke mana ia dibelanjakan”. (Riwayat At-Tirmidzi)
Justeru, jadikanlah kesihatan ini sebagai satu ‘medium’ yang membantu seorang hamba melakukan ketaatan kepada Allah SWT demi meraih pahala
dan bukan kemurkaanNya.
Apabila kita ingin mengetahui sejauh mana nikmat kesihatan yang telah kita kecapi, banyakkanlah menziarahi orang yang sakit. Hal yang demikian
kerana kesihatan merupakan raja segala-galanya. Hanya orang yang sakit dapat mengetahui betapa berharganya nikmat kesihatan.
Betapa ramai orang yang sakit berharap kedua-dua belah kakinya mampu berjalan melakukan amal soleh dan mampu menjenguk temannya namun semua itu tidak mampu dilakukannya.
Betapa ramai orang yang sakit terputus hubungan dengan masyarakat, tidak mampu mendengar dan bercakap tetapi hanya mampu berharap agar dapat mendengar dan melihat untuk terus membaca al-Quran atau mendengarnya. Namun, semua keinginan itu berlaku setelah nikmat kesihatan telah ditarik oleh Allah SWT.
Betapa ramai pesakit yang telah buta matanya dan hanya mampu berharap penglihatan dikembalikan untuk melihat kekuasaan dan ciptaan Allah tetapi ia hanya sekadar angan-angan. Adakah kita semua melupakan golongan seperti ini? Celakalah kehidupan seseorang yang cuba menongkah
arus dan melawan takdir serta lupa dan lalai kepada Allah SWT.
Bersyukurlah atas nikmat kedua-dua belah kaki dengan memperbanyak langkahan kaki ke masjid dan ke arah kebaikan. Bersyukurlah atas nikmat
lidah dengan memperbanyak bacaan al-Quran atau berzikir. Bersyukurlah atas nikmat pendengaran dan menjaganya daripada mendengar alunan lagu
dan muzik yang melalaikan. Bersyukurlah atas nikmat kedua-dua belah mata dengan tidak melihat kepada perkara-perkara haram yang dimurkai oleh
Allah SWT. Semua ini adalah di antara cara seorang hamba menghargai nikmat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka.
Pada hari ini tersebar pelbagai jenis penyakit kronik yang biasa disebut tiga serangkai seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung termasuk juga gangguan ain dan sihir. Ada yang meninggal dunia lebih awal dan ada yang terpaksa menanggung sakit bertahun-tahun. Yang pasti umur manusia tidaklah begitu panjang melainkan seseorang yang diberikan umur subsidi oleh Allah SWT.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:
“Umur ummatku hanya antara 60 hingga 70 tahun. Amat jarang yang dapat melepasi had umur ini”. (Riwayat at-Tirmidzi dan Ibn Majah)
Bahkan, tidak berfaedah langsung seseorang yang mempunyai umur yang panjang jika tidak dipenuhi dengan ketaatan. Realiti kehidupan pada
hari ini membuktikan bahawa kemaksiatan tidak mampu lagi dibendung. Dalam sebuah hadis, Abu Bakrah pernah mendengar daripada bapanya bahawa seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w:
“Wahai Rasulullah! Siapakah manusia yang paling baik? Jawabnya: Sebaik-baik manusia antara kamu adalah orang yang panjang umurnya dan baik amalnya. Siapakah pula manusia paling buruk? Seburuk-buruk manusia antara kamu adalah sesiapa yang panjang umurnya tetapi buruk amalnya”.
(Riwayat at-Tirmidzi, hadis hasan sahih)
Malah, Nabi s.a.w memohon kepada Allah agar tidak dipanjangkan umur hingga nyanyuk.
Allah SWT tidak bersifat zalim kepada hamba-Nya. Setiap kesakitan atau penyakit yang ditimpakan kepada seseorang mengandungi hikmah disebaliknya. Antara hikmah di sebalik kesakitan atau penyakit yang menimpa manusia adalah:
Pertama : Sebagai penghapus dosa. Oleh itu sesiapa yang sakit hendaklah memperbanyakkan istighfar kepada Allah SWT di hujung usianya.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Seseorang muslim yang ditimpa kecelakaan, kemiskinan, kesedihan, sakit mahupun dukacita walaupun tertusuk duri pasti Allah akan menebus dosa-dosanya dengan apa yang menimpanya itu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kedua : Menambah kebaikan.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Amat dikagumi sifat orang mukmin, iaitu semua urusan yang menimpanya adalah baik. Tidaklah seorang mukmin itu kecuali apabila ditimpa kebaikan, dia bersyukur lalu menjadi kebaikan baginya dan apabila ditimpa keburukan dia bersabar lalu menjadi kebaikan baginya”.
(Riwayat Muslim)
Ketiga : Meningkatkan keimanan dan kesabaran.
Jika diuji dengan penyakit, seringkali seseorang tidak sabar bahkan berkeluh kesah dan lebih parah hingga mencela penyakit yang dideritai. Padahal semua yang dialami seorang mukmin itu baik baginya. Jika dia menghadapinya seperti yang ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w, ini akan membersihkan dosa-dosanya.
Keempat : Mengembalikan manusia kepada Allah dan istiqamah di atas agamaNya.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Zukhruf ayat 48 :
“Dan tidaklah Kami memperlihatkan kepada mereka sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa melainkan tanda itu adalah lebih terang dari yang terdahulu daripadanya; dan Kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana), supaya mereka kembali (bertaubat kepada Allah)”.
Sesungguhnya setiap penyakit atau kesakitan yang dialami oleh seorang hamba merupakan suatu ujian daripada Allah swt. Ia boleh menjadi suatu nikmat jika manusia tersebut redha dan bersyukur serta mendekatkan diri kepada Allah ataupun sebaliknya menjadi musibah sekiranya kesakitan yang dialami membuatkannya semakin jauh daripada Allah. Sesungguhnya bergembiralah bagi mereka yang sabar dalam menghadapi ujian kesakitan ini
kerana ia adalah bukti kasih sayang Allah kepada hambaNya.
“Tidak ada musibah yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar. Ingatlah! Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu”. (At-Taghabun: 11)
No comments:
Post a Comment