PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

ISTIQAMAH DALAM BERAMAL IBADAH

Sesungguhnya, istiqamah atau konsisten dalam baramal ibadah atau berada dalam ketaatan merupakan sesuatu yang sukar sekali untuk dilaksanakan. Kerana keimanan itu berada dalam hati. Manakala hati itu atau lafaz arabnya "qalbun" memberi maksud sesuatu yang sifatnya sering berbolak balik. Justeru, ada orang yang paginya beriman, malamnya kufur. Atau paginya dalam ketaatan, malamnya dalam keingkaran. Atau paginya dalam kebaikan, malamnya dalam kealpaan. Kerana hati itu sifatnya sering berbolak balik atau tidak istiqamah serta konsisten. 

Hadis daripada Anas bin Malik RA. bahawa Rasulullah SAW. bersabda:

Sesungguhnya hati-hati itu (diibaratkan) berada di antara dua jari Allah SWT. dan Dia membalik-balikkannya sebagaimana yang dikehendaki.” (Riwayat at-Tirmizi).

Istiqamah memberi maksud mengikuti satu jalan atau konsisten berdasarkan satu panduan. Imam al-Nawawi menjelaskan istiqamah sebagaimana katanya: "Para ulama berkata bahawa istiqamah adalah 
sentiasa mengikut ketaatan kepada Allah SWT. Inilah istiqamah yang diberikan penekanan oleh al-Quran dan as-Sunnah.". 

Sebagai contoh, mengekalkan solat fardu berjemaah, sentiasa mendirikan Solat Sunat Qabliah dan Ba’diah, istiqamah dalam menutup auratnya, istiqamah dalam menginfakkan hartanya pada jalan Allah dan sebagainya.

Sesungguhnya istiqamah itu amatlah berat. Kerana itu Allah SWT. menjanjikan balasan yang amat besar kepada mereka yang sentiasa beristiqamah. 

Firman Allah SWT. dalam surah Fussilat ayat 30:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya (istiqamah) dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu."

Sesungguhnya, istiqamah merupakan sebuah tuntutan agama. Istiqamah adalah tuntutan Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. dan Rasulnya. 

Antaranya ialah firman Allah SWT. dalam surah Hud ayat 112:

Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh (istiqamah) di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan."

Manakala antara hadis menjelaskan tentang istiqamah ialah sebuah Hadis daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi RA. yang memberitahu bahawa Rasulullah SAW. telah ditanya:

Wahai Rasulullah! Katakanlah kepadaku satu perkataan tentang Islam perkataan yang aku tidak perlu bertanya kepada orang lain. Maka jawab Rasulullah SAW.: Katakanlah aku beriman dengan Allah kemudian beristiqamahlah.”  (Riwayat Muslim).

Melalui ayat al-Quran dan hadis tersebut, jelaslah bahawa istiqamah adalah perintah daripada Allah SWT. Manakala hadis tersebut pula menjelaskan bahawa kunci kejayaan atau panduan dalam kehidupan untuk menuju keredhaan Allah SWT adalah dengan istiqamah. Ada pun penjelasan Rasulullah SAW. terhadap persoalan sahabat tersebut menegaskan bahawa untuk berjaya dan cemerlang di dunia serta akhirat mestilah dengan keimanan yang mantap dan amalan yang berterusan serta konsisten atau istiqamah.

Antara perkara-perkara yang menghalang untuk istiqamah itu ialah apabila seseorang itu menganggap ringan akan dosa-dosa serta maksiat, sentiasa sibuk dengan urusan keduniaan tanpa memikirkan akhirat dan keberadaan dalam persekitaran yang tidak baik sama ada mempunyai rakan-rakan yang rosak akhlak, keluarga yang porak peranda serta hidup dalam masyarakat yang musnah peradabannya. Kesemua ini adalah sebahagian faktor yang akan melumpuhkan usaha seseorang itu untuk istiqamah memelihara ketaatan kepada Allah SWT.

Antara ciri-ciri istiqamah sama ada melalui amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan untuk terus berada dalam ketaatan ialah:

Pertama: Melaksanakan ketaatan dengan penuh mujahadah dalam melawan kehendak hawa nafsu. Sesungguhnya iman itu keadaannya menaik dan menurun. Justeru, seseorang muslim itu perlu bermujahadah dalam melaksanakan amal ibadat yang wajib disamping menyempurnakannya dengan amalan-amalan ibadat yang sunat.

Kedua: melibatkan diri dengan aktiviti keilmuan. Sesungguhnya ilmu merupakan kunci kepada segala kebaikan. Dengan ilmu seseorang itu akan mengenali, menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Dengan ilmu seseorang akan tahu kewajipannya terhadap Allah SWT. Dengan ilmu perlaksanaan kewajipan terhadap Allah SWT akan lebih cerah, indah dan mudah.

Ketiga: Ikhlas dalam mencari ilmu dan beramal. Sesungguhnya keikhlasan merupakan ruh terhadap segala amal ibadah. Apabila sifat ikhlas telah subur di hati maka amal ibadah akan terus subur lahir daripada hati sanubarinya.

Keempat: Berdamping atau bersahabat dengan orang-orang salih. Sesungguhnya berdamping dengan orang-orang salih dapat menguatkan lagi semangat untuk terus berada dalam ketaatan kepada Allah SWT. Bahkan, persekitaran yang baik sahaja cukup untuk menyelamatkan kita dari kealpaan apatah lagi apabila kita sering berdampingan dengan orang-orang yang baik, salih lagi taat kepada Allah SWT.

Kelima: Bersederhana dalam pengamalan dan tingkah laku. Sesunguhnya bersederhana dalam amalan mengikut keupayaan merupakan penyelamat daripada rasa penat dan jemu yang akhirnya meninggalkan terus amalantersebut. Sesungguhnya amal yang baik itu ialah sedikit tetapi berterusan. 
InsyaAllah, bermula dengan yang sedikit pasti berakhir dengan yang banyak apabila telah menjadi kebiasaan.

Antara amalan lain yang turut membantu dalam istiqamah ialah dengan sentiasa beristighfar, berdoa, berzikir, mengingati mati, bertaubat dan sering mengharapkan agar mati dalam keredhaan Allah SWT. 

Antara manfaat dan faedah beristiqamah itu ialah seseorang itu akan berada dikalangan malaikat yang membawa rahmat, hati serta kehidupannya berada dalam ketenangan serta kebahagiaan, bahkan syurga dijamin baginya dan rezekinya dimurahkan serta diluaskan oleh Allah SWT. 

Marilah sama-sama kita berazam dan bekerjasama kearah ketaatan dengan sama-sama menghidupkan suasana dan persekitaran yang solehah atau persekitaran yang baik supaya menjadi rangsangan dan galakan kebaikan buat kita bersama. Semoga kita sentiasa berada dalam ketaatan, keampunan dan rahmat Allah SWT.

Kesimpulan yang dapat dirumuskan daripada khutbah ini ialah:

Pertama: Kita hendaklah istiqamah dalam melaksanakan tuntutan agama yang ditegaskan oleh Allah SWT. melalui ayat-ayat al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Kedua: Kita hendaklah sentiasa mendampingi para ulama dan orang-orang soleh serta menghadiri majlis-majlis ilmu untuk mendisplinkan diri mengejar kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Ketiga: Kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah SWT. Supaya kekal berada dalam ketaatan dan teguh pendirian hingga akhir hayat kita.

“(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya."
 (ali Imran : 8).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...