PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

AL MAISIR ATAU JUDI; PENCETUS PERMUSUHAN DAN PEROSAK AKIDAH”

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 91;

Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran arak dan judi itu, serta mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, berhentilah (daripada melakukan perkaraperkara yang keji dan kotor itu)”.

Ayat ini menerangkan mengenai khamar (arak) dan al-maisir. Melalui keduanya syaitan mengambil peluang mencetuskan permusuhan dan kebencian di kalangan manusia, setelah Allah menyatukan mereka melalui iman dan persaudaraan. Dengan kesibukan berjudi, syaitan juga dapat memalingkan hati manusia, daripada mengingati Allah SWT, sehingga akhirnya tidak memperoleh apa-apa kebaikan di dunia dan di akhirat. 

Islam melarang semua bentuk urus niaga di mana keuntungan kewangan diperoleh hanya berdasarkan nasib atau spekulasi dan bukannya dengan usaha gigih untuk mendapatkannya. Para ulama’ telah sepakat bahawa haramnya pelbagai bentuk dan jenis al-Maisir berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 219 yang dibaca pada pembukaan khutbah ini. Setiap permainan yang menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak lain, maka ia termasuk ke dalam al-Maisir yang diharamkan.

Al-Maisir (judi) ini tidak semestinya dengan bermain daun terup, poker, permainan slot kuda, nombor ekor dan sebagainya. Setiap perkara yang ada wang pertaruhan atau mempertaruhkan apa-apa benda adalah dikira sebagai judi. Walaupun sukan bola sepak, badminton, golf dan sebagainya jika mengandungi unsur taruhan (harta atau material) kepada semua pihak, di mana pihak yang menang berhak mengambil (merampas) harta atau material daripada pihak yang kalah, maka ia dikatakan al-Maisir. Perbuatan ini dilarang keras oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah alBaqarah ayat 188:

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang batil (yang salah menurut syarak)…”.

Muslimin yang dirahmati Allah SWT, Judi siber yang begitu popular pada hari ini adalah permainan yang melibatkan pertaruhan wang secara haram menerusi internet. Setiap orang yang terlibat dengan perjudian ini perlu membayar nisbah pertaruhan yang ditetapkan dan pihak yang kalah hendaklah menyerahkan wang taruhannya kepada pihak yang menang.

Permainan ini hukumnya haram kerana mendapatkan wang dengan cara yang salah dan zalim. Hasil daripada sumber yang haram akan menjadikan hidup hilang keberkatannya bahkan sentiasa dalam kemurkaan Allah SWT malah dijanjikan dengan azab yang amat pedih di akhirat kelak. Permainan atau aktiviti yang terkeluar daripada hukum judi adalah yang tiada unsur-unsur pertaruhan daripada para pemainnya.

Sebagaimana kebiasaannya apabila seseorang kaki judi itu kalah, mereka mudah terdorong melakukan perkara yang dilarang oleh syarak bagi mendapatkan wang atau modal untuk berjudi walaupun terpaksa mencuri, peras ugut, rasuah dan menipu. Akibatnya institusi kekeluargaan akan menjadi kucar kacir dan musnah. Tanggungjawab dan amanah mereka terhadap isteri dan anak-anak terabai. Nafkah zahir tidak mampu diberi kerana segala harta dan wang ringgit telah dihabiskan dalam perjudian.

Malah ada yang sanggup meminjam daripada ah long untuk mendapatkan wang segera asalkan dapat berjudi bagi memenuhi impian menjadi kaya yang tidak pernah menjadi realiti.

Sedarkah kita? Bahawa inilah perangkap judi siber yang telah berjaya meruntuhkan institusi kekeluargaan dan merosakkan jati diri umat Islam hari ini. Ia menjadi bukti bahawa musuh Islam sentiasa berusaha menggunakan apa sahaja cara untuk menyesat dan melemahkan umat Islam termasuklah dalam bentuk permainan dan hiburan. Melalui perjudian ini, musuh-musuh Islam mengaut keuntungan, sementara umat Islam pula menjadi mangsa dan menanggung kerugian. Betapa ramai dikalangan umat Islam di negara ini yang telah menjadi bankrap sehingga mewujudkan golongan gelandangan akibat terperangkap dalam aktiviti judi siber masa kini.

Apa yang amat mendukacitakan kita ialah, laporan menunjukkan bahawa sebahagian besar pelanggan tetap kafe-kafe siber yang terlibat dalam aktiviti perjudian atas talian ini adalah dalam kalangan orang-orang Islam sendiri termasuk golongan profesional, kanak-kanak sekolah, para remaja dan golongan dewasa.

Sesungguhnya, Islam telah meletakkan satu asas, bahawa pencarian rezeki itu hendaklah daripada punca dan daya usaha yang betul-betul halal dan bersih. Sekiranya seseorang bapa itu berjudi, sudah tentu hasil pendapatannya adalah haram. Bagaimana jika hasil kemenangan daripada berjudi itu dibelikan makanan untuk ahli keluarganya. Maka, samalah dengan dia menyuapkan batu-batu daripada api neraka ke dalam mulut anak isterinya. Sanggupkah kita melakukan demikian kepada keluarga kita?

Hadis daripada Jabir Bin Abdullah RA bahawa Nabi SAW bersabda;

Tidak masuk syurga orang yang daging tubuh badannya tumbuh daripada bahan makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya”.  (Riwayat Ahmad).

Sesungguhnya tabiat berjudi juga boleh merosakkan akidah. Apabila mereka terlibat dengan unsur-unsur pemujaan bagi mendapatkan nombor ekor. Kegiatan memuja kubur, pokok besar, keris hikmah, dan tangkal azimat boleh membawa syirik kepada Allah. Terdapat juga peminat nombor ekor yang menemui bomoh untuk mendapatkan nombor bertuah. Bomoh tersebut akan menggunakan sihir dan tipu daya bagi memenuhi hajat pemohon dengan memuja atau melalui amalan “menurun”. Perbuatan seperti ini boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam. Nauzubillahiminzalik.

Punca berlakunya judi adalah disebabkan lemahnya iman seseorang itu, kurang jati diri, kecetekan akal fikiran dan bersikap sambil lewa terhadap hukum hakam yang disyariatkan oleh Allah SWT.

Oleh itu, langkah yang boleh diambil dalam menghindarkan diri daripada terjerumus dengan kegiatan judi ini, antaranya ialah mengukuhkan keimanan. Iman adalah salah satu kekuatan yang dapat melindungi manusia daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan menjamin kesejahteraan keluarga. Setiap individu muslim hendaklah memiliki pengetahuan agama Islam dan menghayatinya agar tidak tergelincir daripada ajaran dan akidah Islam. Berlakunya kemungkaran dan pelbagai gejala sosial hari ini antaranya adalah disebabkan oleh pudarnya semangat umat Islam untuk menegakkan dan melaksanakan amar makruf di antara sesama mereka.

Kita semua bertanggungjawab, dalam membanteras segala bentuk perjudian yang berlaku. Tidak wajar kita melepaskan bebanan ini kepada pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan sahaja. Malah setiap individu, masyarakat, ibu bapa, guru-guru atau pendidik, perlu peka dalam masalah ini melalui perkara berikut :

Pertama: Setiap orang Islam mestilah memahami bahawa amalan berjudi perlulah dibanteras kerana ia boleh mencetuskan permusuhan, meruntuhkan institusi kekeluargaan, masyarakat dan ancaman kepada negara.

Kedua: Setiap individu muslim wajib memainkan peranan dan bekerjasama dalam membanteras segala bentuk perjudian di semua peringkat.

Ketiga: Umat Islam perlu menyedari betapa pentingnya ilmu, amal dan iman dalam melayari kehidupan untuk memastikan mereka tidak terjerumus kedalam kemungkaran dan maksiat.

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib dengan anak-anak panah adalah perkara keji yang termasuk sebagai perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya”.  (Surah al-Maidah : 90).




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...