Fitnah bermaksud tuduhan yang diada-adakan sama ada ia berbentuk gambar, berita, kisah-kisah dan sebagainya yang boleh memburukkan atau memusnahkan seseorang individu, sesebuah institusi atau kumpulan dan seumpamanya. Dalam zaman serba moden dan era teknologi ini, penyebaran fitnah mudah berlaku sama ada melalui ucapan, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mail, laman sesawang atau blog, whatssap, facebook, instagram dan sebagainya.
Penyebaran berita fitnah tersebut berlaku dengan cepat, meluas dan mudah diperolehi tanpa sebarang kewaspadaan untuk menyelidik maklumat yang diterima seterusnya tanpa teragak-agak disampaikan kepada yang lain. Sikap ini amat ditegah oleh Islam. Ini kerana Islam menganjurkan umatnya agar setiap berita yang sampai terutamanya melalui orang yang digolongkan sebagai fasik iaitu mereka yang tidak mempedulikan perintah Allah SWT yang sepatutnya diselidiki terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada yang lain.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6:
“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 19:
“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman, mereka akan beroleh azab yang amat pedih di dunia dan di akhirat dan Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui”.
Menabur fitnah dengan mengumpat dan sebagainya berlaku sama ada disedari atau tidak, termasuk dalam sikap buruk apabila seseorang menyebut atau menceritakan keburukan seseorang tanpa menyiasat terlebih dahulu. Penyebar berita biasanya menyebut "dengar khabar", "khabar angin" atau “viral”. Bagaimanapun, apabila berita tersebut disampaikan daripada seorang ke seorang, diulang-ulangkan, maklumat yang belum sahih itu seolah-olah sudah menjadi fakta dan berita benar.
Kenapa fitnah dianggap keji dan ianya diancam oleh Allah SWT dan dosa? Antara ancaman dan dosa fitnah dan penabur fitnah yang disebutkan oleh al-Quran dan al-Sunnah ialah:
1. Penabur fitnah yang tidak dapat membawa saksi atas segala dakwaan mereka (fitnah), Allah SWT memerintahkan supaya dihukum dengan 80 sebatan.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 4:
“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (penyebar fitnah) lapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasik”.
2. Penabur fitnah dan pengumpat disifatkan sebagai sekeji-keji manusia.
Hadis daripada Abdul Rahman Bin Ghanmin RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah”. (Riwayat Imam Ahmad).
3. Menabur fitnah dan mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudaranya sendiri. Sesungguhnya manusia yang waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa; janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”.
4. Penabur fitnah dan pengumpat disiksa di dalam kubur.
Hadis daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya mereka berdua (penabur fitnah dan pengumpat) diazab dan tidaklah mereka berdua diazab disebabkan dosa-dosa besar yang mereka lakukan tetapi disebabkan salah seorang mereka tidak dapat membersihkan air kencingnya (mengetuskan dengan sempurna) dan seorang lagi memecah belahkan masyarakat dengan berjalan menabur fitnah”. (Riwayat Al-Bukhari).
Selain ancaman dan dosa fitnah dan penabur fitnah sebagaimana yang disebutkan oleh syarak, fitnah juga turut membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat. Antaranya ialah:
1. Dosa pembuat dan penyebar fitnah disifatkan sebagai dosa sesama manusia. Dosa ini tidak akan diampunkan kecuali orang yang difitnah memaafkan perbuatan tersebut.
2. Fitnah memecahbelahkan rumahtangga dan merosakkan masyarakat. Kerana fitnah, hubungan adik beradik, suami isteri, jiran tetangga dan sebagainya akan hancur dan membawa kepada permusuhan yang berkekalan. Bahkan perbuatan menyebar fitnah diumpamakan sebagai api yang marak membakar tanah gambut kerana ia cepat merebak sehingga akhirnya menjadi jerebu yang menyusah dan menyakitkan ramai serta merugikan negara.
3. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Sikap seperti ini bertujuan menonjolkan diri dan menganggap dirinya lebih baik atau lebih layak berbanding orang yang diburukkan. Banyak pihak yang terbabit dengan penyebaran fitnah ini terkadang tidak mempunyai sebarang kepentingan pun. Tetapi, disebabkan amalan tersebut sudah menjadi kebiasaan, walaupun ianya hina namun dapat memberi satu kepuasan kepada pelakunya.
4. Budaya menabur fitnah boleh menganggu gugat kestabilan dan keamanan Negara. Oleh itu, usah biarkan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling menjadi alat atau ejen pembuatan dan penyebar fitnah yang boleh menimbulkan huru-hara dan mengancam kestabilan sesebuah negara.
5. Fitnah boleh mengakibatkan jatuhnya maruah seseorang individu dan perkumpulan, begitu juga ia boleh menyebabkan kerugian dari segi kewangan. Ini kerana saman malu boleh dibuat terhadap penyebar fitnah dan bakal mengakibatkan kerugian yang besar dari sudut kewangan, emosi dan sebagainya.
Pengajaran dan taujihat yang dapat kita sarankan adalah:
1. Umat Islam dilarang membuat dan menyebarkan fitnah kerana ia merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar yang dikutuk oleh Allah dan Rasulnya.
2. Setiap individu Muslim Wajib memperhalusi setiap berita yang diterima terutamanya khabar atau berita yang dilabel sebagai "khabar angin" atau "dengar khabar" supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah serta memadamkannya serta-merta.
3. Umat Islam hendaklah menghindarkan diri dari budaya menabur fitnah kerana ianya adalah sikap yang amat keji dan bakal meruntuhkan keharmonian rumahtangga, merosakkan masyarakat dan menjejaskan kestabilan serta keamanan Negara.
4. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa segala persengketaan dan kekeliruan tidak akan dapat diselesaikan melalui budaya menabur fitnah. Sebaliknya, hendaklah bersikap merendah diri, bertolak ansur, saling bermaafan atas apa jua kesilapan dan berlapang dada apabila menerima teguran.
“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya." (Surah al-Anfal : 25).
Petikan Khutbah JAIS 23 Okt 2015
No comments:
Post a Comment