PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

PENGAMAL RASUAH DILAKNAT ALLAH SWT

Pengamal rasuah ialah pemberi dan penerima rasuah. Perbuatan rasuah adalah tingkah laku yang menyimpang dalam kehidupan bermasyarakat dan ia merupakan penyakit sosial yang amat ditegah oleh Islam. Ini kerana pemberian secara rasuah tidak didorong oleh keikhlasan dan tidak bertujuan untuk mencapai keredaan Allah SWT. Rasulullah SAW telah melaknat dalam satu hadisnya terhadap orang yang memberi dan menerima rasuah, termasuk orang yang menjadi perantaraan.

Diriwayatkan daripada Imam at-Tirmidzi daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa;

Maksudnya :

Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam membuat keputusan

Kenapa Islam menganggap bahawa rasuah adalah satu jenayah yang keji dan dilaknat Allah? Sebabnya adalah rasuah memberi kesan yang amat buruk, kepada sistem keadilan dan pentadbiran. Ia mengetepikan hak-hak orang lain demi untuk kepentingannya.


Jenayah rasuah merupakan budaya jahiliah, yang menunjukkan betapa rendah dan hinanya akhlak dan perangai orang yang melakukannya. Sama ada pemberi atau penerima. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188 :

Maksudnya :

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

Ayat ini menjelaskan bahawa rasuah merupakan suatu amalan yang sangat dikutuk oleh Allah. Ia merupakan penyakit masyarakat yang terlalu tamak akan harta dan mementingkan diri sendiri serta menzalimi orang lain.

Perbuatan rasuah meliputi amalan meminta, menawar, menerima suapan, tuntutan palsu, atau menyalah guna jawatan, untuk kepentingan diri, keluarga, dan golongan tertentu termasuk juga apa yang disebut oleh umum sebagai duit kopi, pelincir, tumbuk rusuk dan duit tepi samada berbentuk wang tunai atau manfaat berbentuk barangan seperti tukar tayar kereta, melancong, bayar bil, habuan gadis, ubah suai rumah dan sebagainya yang sukar ditangani oleh SPRM.

Sesungguhnya sumber daripada rasuah itu adalah kotor, dan haram dimakan, kerana setiap jasad yang tumbuh dari sumber yang haram, di akhirat kelak tempatnya adalah di dalam neraka. 

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Jabir Bin Abdullah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya :

Tidak akan masuk syurga sesiapa yang tumbuh dagingnya (yakni yang membesar) dengan sumber atau makanan yang haram (rasuah), maka nerakalah yang selayaknya baginya”.

Sesungguhnya, kesejahteraan Negara bergantung kepada sejauh mana kualiti diri setiap rakyatnya. Jika rakyatnya mengamalkan budaya hidup yang murni berlandaskan ajaran Islam, maka negara akan kukuh dan bertambah maju. Tetapi, jika rakyatnya mengamalkan gaya hidup yang keji seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa, negara akan runtuh dan bertambah mundur. Dengan rasuah pesalah terlepas daripada hukuman. Dengan rasuah juga orang yang tidak bersalah mendapat hukuman. Allah juga akan menarik semula semua nikmat yang dikurniakan, melalui pelbagai ujian kepada kita.

Pengamal rasuah adalah mereka yang bernafsu besar, atau bersifat tamak haloba, mengamalkan cara hidup mewah, ingin cepat kaya dan terikutikut dengan gaya rakan sekerja tanpa mengukur baju di badan sendiri. Menurut maklumat daripada SPRM menunjukkan pelbagai jenis peringkat manusia yang didapati terlibat dengan amalan rasuah, termasuk kumpulan pengurusan dan profesional, serta kumpulan sokongan, ahli politik dan orang awam.

Menurut statistik laman rasmi SPRM, jumlah tangkapan pada tahun 2015 adalah seramai 841 orang. Manakala sehingga November 2016 jumlah tangkapan adalah seramai 898, meningkat seramai 57 orang. Berdasarkan peningkatan tersebut, mereka tidak boleh dibiarkan bermaharajalela, kerana perbuatan mereka boleh dianggap sebagai pengkhianat kepada agama, masyarakat dan negara.

Amalan rasuah meninggalkan kesan yang buruk terhadap individu yang terlibat dan pihak-pihak berkuasa, kesan terhadap masyarakat dan negara, jabatan dan organisasi dan sebagainya. Contohnya seperti berikut;

1. Kesan terhadap individu, ialah menyebabkan seseorang itu akan kehilangan pekerjaan, hilang integriti dan maruah diri, hancur keharmonian rumah tangga, serta pendidikan anak-anak akan terabai.

2. Kesan buruk terhadap sesebuah Jabatan dan organisasi pula seperti pemusatan kuasa hanya kepada individu sahaja, kuasa budi bicara melebihi peraturan dan prosedur, kehidupan pegawai dan staf amat
mewah sehingga terdapat pegawai berani meminta upah secara terang-terangan bagi mempercepatkan proses permohonan.

3. Kesan buruk terhadap masyarakat dan negara seperti mengakibatkan ketidakadilan disebabkan mengetepikan hak-hak orang lain. Ia boleh menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan serta menjejaskan kecekapan, kelicinan dan kelicikan sesuatu pentadbiran. Rasuah juga boleh meningkatkan kadar inflasi dan jenayah kezaliman dalam masyarakat.

Demikianlah kesan buruk akibat daripada amalan rasuah yang berlaku sekiranya gejala ini tidak dibanteras. Mereka yang melakukan rasuah sama ada pemberi atau penerima atau bersubahat menjadi orang tengah, boleh dianggap sebagai perompak harta rakyat. 

Dari sudut akidah pula, penerima rasuah boleh membawa kepada kekufuran. Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tobarani daripada Ibnu Mas’ud R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Maksudnya :

Amalan rasuah yang boleh mempengaruhi dan mengubah keputusan hukum boleh membawa kepada kufur”.

Sebelum terjebak dalam perangkap rasuah, cubalah kita fikir bahawa mereka yang bergelumang dengan kemewahan melalui sumber yang haram tidak akan selamat hidupnya di dunia dan di akhirat, kerana Allah mengetahui amalan tersebut, dan orang lain juga akhirnya akan mengetahui tentang perbuatan terkutuk itu. Rasuah adalah suatu kezaliman dan merupakan perbuatan khianat. Mereka akan dibalas oleh Allah SWT di dunia lagi dan di akhirat sebagai penghuni neraka.

Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tobarani daripada Abdullah Bin Umar R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya :

Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”.

Demikianlah besarnya dosa dan balasan Allah kepada pemberi dan pengamal rasuah. Oleh itu;
  • Sampai hatikah pengamal rasuah terus menyuapkan makanan haram ke mulut anak isteri yang dikasihi?
  • Sampai hatikah pengamal rasuah memberikan wang haram kepada ibubapa yang telah banyak berjasa?
  • Wajarkah pengamal rasuah membelanjakan rakan taulan dan sahabat handai hasil dari sumber rasuah?
Marilah kita bersama-sama menghayati pengajaran daripada khutbah ini;

1. Umat Islam yang beriman kepada Allah dan hari akhirat mestilah menjauhi rasuah dan segala bentuk penyelewengan yang boleh dilaknat oleh Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa mencari keberkatan hidup dengan menjauhi rasuah dan penyelewengan.

3. Umat Islam hendaklah meningkatkan kesedaran dengan mendalami dan menghayati ilmu-ilmu fardu Ain supaya dapat membezakan yang halal dan haram untuk memenuhi keperluan hidup.

4. Umat Islam hendaklah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan tugas membasmi rasuah tidak kira kepada golongan bawahan mahupun atasan.

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”.  (Surah ali-Imran:104).



(Petikan Khutbah Jumaat JAIS 13-01-2017)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...