PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

PEKERJAAN SEBAGAI HAMPARAN SEJADAH

Islam memandang mulia kepada orang yang bekerja dan membenci orang-orang yang malas dan suka meminta-minta. Nabi SAW mengingatkan melalui hadis riwayat daripada Zubair bin al-Awwam R.Anhu dengan sabdanya bahawa;

Maksudnya :

Sekiranya seseorang darimu membawa tali pergi memberkas kayu, dan dipikul di atas belakangnya, kemudian dijual, lalu Allah memelihara air mukanya, itu lebih baik dari dia meminta-minta sama ada diberi atau tidak”.

Sesungguhnya para nabi Alaihimus Solatu Wassalam yang telah diutuskan juga bekerja. Nabi Adam bertani, Nabi Idris tukang jahit, nabi Nuh dan Zakaria tukang kayu, Nabi Daud bertukang besi. Nabi Musa mengembala kambing. Nabi Muhammad juga berniaga. Begitu juga dengan para sahabat. Abu Bakar AS-Siddq menjual pakaian, Umar Bin al-Khattab mengusahakan perniagaan kulit, Uthman bin Affan seorang pedagang yang amat berjaya, Begitu juga dengan Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, az-Zubair bin al-Awwam, Amr bin al-Ash dan lain-lain sahabat Radiallahu Anhum. Para sahabat memiliki pekerjaan masing-masing dalam rangka mencari penghidupan di dunia bahkan mereka menggunakan harta pencarian mereka untuk diinfaqkan kejalan Allah.

Islam menggalakkan umatnya bekerja keras kerana hamparan dunia ini ditabur dengan pelbagai rezeki Allah sama ada diatas permukaan bumi atau dari dalam perut bumi, dilautan dan diangkasa. Semuanya boleh diusahakan oleh manusia dengan akal dan ikhtiar yang dibekalkan oleh Allah kepada manusia. Islam tidak menyuruh kita solat secara berterusan atau duduk beriktikaf didalam masjid sepanjang masa. Saidina Umar sendiri pernah mengusir orang yang sedang berdoa didalam masjid sedangkan ketika itu telah masuk waktu dhuha sambil berkata: “Langit tidak menggugurkan emas dan perak dengan hanya berdoa”.

Ibadah didalam Islam perlu difahami dalam konteks yang luas dan menyeluruh. Ibadah tidak hanya tertumpu pada solat, puasa, zakat, haji, zikir, baca al-Quran, bersedekah, berjihad dijalan Allah dan seumpamanya. Bahkan Islam turut memasukkan dalam maksud ibadat ialah bekerja. Rasulullah SAW pernah mengajar kepada para sahabat secara tidak langsung maksud bekerja sebagai ibadat.

Abu Hurairah R.Anhu meriwayatkan bahawa pada suatu ketika, beberapa orang sahabat melihat seorang pemuda yang kuat dan rajin bekerja. Mereka pun berkata; Alangkah baiknya jika dia berjihad di jalan Allah. Rasulullah segera menjawab: Jangan kamu berkata seperti itu. Jika dia bekerja untuk menafkahkan anak-anaknya yang masih kecil maka dia berada dijalan Allah. Jika dia bekerja untuk menafkahkan kedua orang tuanya yang sudah tua, maka dia dijalan Allah. Dan jika dia bekerja untuk memenuhi keperluan hidupnya, maka dia dijalan Allah. (Riwayat al-Baihaqi).

Oleh itu, setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah mengelak diri daripada penipuan, penyelewengan salah guna kuasa, tidak beramanah, tidak bersungguh-sungguh dalam pekerjaan dan seumpamanya kerana pekerjaan itu tidak terlepas daripada ikatan ibadat. Sebab itu orang yang solat tidak menipu bilangan rakaat solatnya, ketika berpuasa dia tidak makan secara bersembunyi walaupun yakin tidak dilihat oleh sesiapa pun. Semua ini kerana dia faham bahawa solat dan puasa itu adalah ibadat. Oleh itu roh ibadat perlu dimasukkan dalam alam pekerjaan jika ingin melahirkan pekerja yang berkualiti.

Ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan oleh setiap muslim yang bekerja agar pekerjaannya dapat meraih keuntungan di dunia dan juga di akhirat. Bahkan pekerjaannya mempunyai nilai-nilai ibadah yang diredhai dan diterima oleh Allah. Antara perkara-perkara tersebut ialah;

1. Pekerjaan yang dijalani mestilah pekerjaan yang baik dan patuh syariah.
Tidak boleh bagi seorang muslim bekerja dalam bidang yang digolongkan oleh Islam sebagai maksiat dan mendatangkan kerosakan seperti bekerja di kelab malam, tempat pelacuran, perjudian, arak, institusi kewangan tidak patuh syariah dan seumpamanya.

2. Bekerja dengan tekun dan bertanggunjawab.
Islam bukan sekadar menyuruh umatnya bekerja tetapi dalam masa yang sama memerintahkan agar bekerja dengan tekun, amanah dan bertanggungjawab.

3. Niat bekerja sebagai ibadat dan mencari redha Allah.
Bekerja dengan niat yang baik kerana Allah, akan mengangkat martabat pekerjaan itu daripada pekerjaan yang biasa-biasa sahaja kepada pekerjaan sebagai satu ibadat. Pekerjaan itu mampu menjana pahala yang amat besar bahkan dianggap sebagai amal soleh. Pekerjaan itu seolah-olah suatu hamparan sejadah yang luas. Diberi keberkatan di dunia dan diberi pula ganjaran yang baik di akhirat.

4. Tidak mengabaikan kewajipan kepada Allah.
Walau apa pun pekerjaan kita, namun kewajipan kita terhadap Allah jangan diabaikan seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan sebagainya.

Islam memandang mulia kepada orang yang bekerja untuk menyara kehidupan diri dan keluarganya dengan pendapatan yang bersih dan halal. Keletihan dalam mencari rezeki yang halal sepanjang hari akan diberi ganjaran yang besar oleh Allah.

Realitinya tidak semua orang dapat bekerja dalam bilik yang berhawa dingin. Sesetengahnya terpaksa bekerja ditengah terik panas matahari. Melakukan kerja-kerja berat yang amat meletihkan. Namun begitu Allah tetap memandang kepada mereka dengan keampunan dan kasih sayang jika mereka bekerja dan menjaga hak-hak Allah seperti menjaga solat lima waktu, berpuasa pada bulan ramadan dan seumpamanya.

Bahkan keletihan dan susah payah dalam mencari rezeki akan diberi pengampunan dosa-dosa yang lalu oleh Allah SWT. Hadis daripada Anas Bin Malik R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaskud;

Sesiapa yang tidur dalam keletihan kerana mencari rezeki halal, maka dia tidur dalam kemapunan Allah SWT”. (Riwayat al-Tabrani).

Sesungguhnya dalam kegigihan mencari pekerjaan itu, pastikan harta yang diperolehi tidak melalui pekerjaan yang bertentangan dengan syariah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188;

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu Dengan jalan Yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia Dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

Takutlah dengan pendapatan yang tidak bersih atau tidak halal khususnya amalan rasuah yang berlaku dalam urusan pentadbiran dan seumpamanya. Statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai tangkapan terhadap pelaku rasuah bagi tahun 2016 terhadap penjawat awam atau pegawai kerajaan dan juga orang awam ialah sebanyak 939 tangkapan. Namun begitu jumlah ini akan lebih besar lagi jika dikira daripada pelaku atau pemakan rasuah yang masih bebas melakukannya.

Bayangkan jika pelaku rasuah ini pulang ke rumah dengan membawa hasil daripada amalan rasuah yang mereka perolehi, lalu diberikan kepada anak-anak dan isteri serta ibubapa, maka akan tersebarlah hasil amalan rasuah itu kepada sejumlah besar manusia. Akibat menggunakan harta hasil rasuah itu, maka akan hilang barakah dan rahmat daripada Allah. Mereka tidak akan mendapat rahmat dan kasih sayang Allah. Dicabut rasa tenang dan bahagia dalam kehidupan rumah tangga walaupun dilihat keluarga itu penuh dengan kesenangan.

Oleh itu, pastikan hasil yang dibawa balik ke rumah adalah halal. Hasil yang haram ditakuti akan memberi kesan kepada anak-anak dan ahli keluarga di rumah. Mereka mungkin tidak tahu bahawa apa yang mereka makan dan pakai itu dari sumber yang haram. Maka kewajipan kita untuk memastikan bahawa yang masuk ke dalam rumah hanyalah yang halal sahaja.

Ingin menyeru dan berpesan kepada sekalian bahawa;
1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa tujuan diciptakan itu adalah bertujuan untuk beribadat.
2. Umat Islam hendaklah mencontohi para Nabi yang rajin bekerja dan beribadah.
3. Umat Islam hendaklah mencari rezeki melalui pekerjaan yang baik dan patuh syariah.
4. Umat Islam hendaklah rajin bekerja dan menjauhi sifat-sifat malas dan meminta-minta.
5. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa pekerjaan yang haram membawa ke neraka.

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”. (al-Qasas ; 77)



Petikan Khutbah Jumaat JAIS 28Apr2017

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...